Kerajaan setuju salur RM5 juta kepada FAM

Football
26 Jan 2024 • 2:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar ketika ditemui pemberita di Desa Sri Hartamas pada Jumaat.

KERAJAAN setuju untuk meluluskan peruntukan khas sebanyak RM5 juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyaluran dana itu akan dilaksanakan dengan kadar segera bagi mengurus pasukan bola sepak negara serta meningkatkan prestasi keupayaan mereka.

"Saya telah menyaksikan pertarungan hebat pasukan Harimau Malaya malam tadi di mana mereka menunjukkan keupayaan dan kesungguhan.

“Semangat mereka tidak lusuh walaupun setelah kalah dalam dua pertarungan tetapi tetap menunjukkan satu perlawanan yang sangat menakjubkan dan hebat bertarung dengan pasukan yang kuat, Korea Selatan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada mereka, mara terus dan kerana menunjukkan semangat sedemikian, dengan pertimbangan Menteri Belia dan Sukan, kerajaan bersetuju meluluskan tambahan RM5 juta kepada FAM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Desa Sri Hartamas pada Jumaat.

Skuad Harimau Malaya hampir menumbangkan juara dua kali Korea Selatan sebelum mencatat keputusan seri 3-3 pada perlawanan berkenaan, sekali gus menyaksikan Korea Selatan kekal di posisi kedua Kumpulan E dengan mengumpul lima mata sementara Malaysia membawa pulang satu mata.