‘Kerajaan tahu apa patut dibuat sebaik undang Trump’, kata Ismail Sabri

LocalPolitics
1 Oct 2025 • 7:58 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin kerajaan mempunyai kebijaksanaan dalam mempertimbang dan membuat keputusan berhubung kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak Asean Ke-47 Oktober ini.

Bekas Perdana Menteri ke-9 itu berkata, isu itu perlu dilihat dalam kerangka hubungan antarabangsa memandangkan Malaysia adalah Pengerusi Asean dan terikat dengan prinsip zon aman, bebas dan berkecuali (ZOPFAN).

“Dalam isu jemputan terhadap Trump, saya percaya kepimpinan kerajaan hari ini tahu apa yang patut mereka buat.

“Jadi kita serahkan kepada kebijaksanaan mereka untuk membuat keputusan,” katanya ketika menyantuni program Interviu Sinar Harian semalam.

Sehubungan itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera menjelaskan, Asean mempunyai peranan besar dalam mengekalkan keseimbangan hubungan dengan kuasa besar dunia seperti AS dan China terutama dari sudut kerjasama ekonomi.

Dalam masa yang sama, bekas Naib Presiden Umno itu menegaskan, pendirian Malaysia dalam isu Palestin tidak pernah berubah dan kekal konsisten menentang kekejaman Israel.

“Malaysia dari dahulu sampai sekarang konsisten menentang Israel dan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

“Kegagalan dunia menangani kekejaman Israel berpunca daripada kuasa veto di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sering digunakan AS bagi menolak sebarang resolusi melibatkan Israel.

“Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya berucap di PBB supaya kuasa veto dihapuskan kerana ia menyebabkan semua keputusan terhadap Israel gagal dan selagi ada kuasa itu, apa sahaja yang diputuskan akan dibantah AS,” katanya.

Ahad lalu, Perdana Menteri dalam satu sidang media di Sandakan, Sabah menempelak pihak yang mempertikaikan jemputan kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 di ibu negara pada bulan depan.

Anwar berkata, Kuala Lumpur akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk terus lantang menyuarakan isu Palestin. - 1 Oktober, 2025

The post ‘Kerajaan tahu apa patut dibuat sebaik undang Trump’, kata Ismail Sabri appeared first on Scoop.