Kerajaan tamatkan konsesi pengerukan pelabuhan Integrated Marine Works - MoT
herman
13/06/2024 - 15:51
KUALA LUMPUR 13 Jun - Kerajaan menamatkan konsesi pengerukan dan penambakan Integrated Marine Works Sdn Bhd (IMW) kerana terdapat pelanggaran syarat-syarat perjanjian.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Jemaah Menteri pada 29 Mei 2024 telah bersetuju dengan penamatan perjanjian konsesi antara kerajaan, pihak berkuasa pelabuhan di seluruh negara dan syarikat IMW yang dimeterai pada 30 Mei 2022.
Katanya, Kementerian Pengangkutan telah mengeluarkan notis kemungkiran bertarikh 29 Januari lalu kepada syarikat dengan tempoh remedi selama tiga bulan hingga 29 April 2024 namun IMW gagal untuk memulihkan kemungkiran syarat.
Antara pelanggaran terma perjanjian adalah IMW menukar pemegang saham tanpa kebenaran kerajaan kerana semasa perjanjian ditandatangani, syarikat IMW dimiliki sepenuhnya oleh Inai Kiara Sdn Bhd.
“Bagaimanapun, sekitar bulan Julai 2023, MOT telah mendapat makluman bahawa syarikat Inai Kiara telah pun digulung melalui Perintah Penggulungan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh 11 April 2023.
“Siasatan lanjut Kementerian Pengangkutan mendapati bahawa pemegang saham syarikat IMW telah ditukar daripada Inai Kiara kepada Inai Warisan tanpa kebenaran kerajaan.
“Ini bermakna syarikat IMW telah melanggar salah satu terma perjanjian di mana berdasarkan perjanjian, pihak syarikat tidak boleh menukar pemegang saham tanpa kebenaran kerajaan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Selain itu, kata Anthony, syarikat IMW juga didapati gagal membuat pembayaran caj konsesi bagi tahun 2023 seperti mana yang termaktub dalam perjanjian konsesi.
“Akhirnya, notis penamatan telah dikeluarkan kepada pihak IMW pada 11 Jun 2024.
“Kementerian Pengangkutan tidak akan melantik syarikat konsesi baharu susulan penamatan ini,” katanya.
Beliau berkata, dasar baharu akan digubal untuk menggalakkan pertumbuhan industri pengerukan dan penambakan dalam kalangan syarikat-syarikat tempatan lebih berdaya saing demi pembangunan pelabuhan-pelabuhan di seluruh negara.
“Perlu ditegaskan kebanyakan projek-projek pengerukan dan penambakan di pelabuhan-pelabuhan Persekutuan adalah dibiayai oleh operator-operator pelabuhan masing-masing,” katanya.- DagangNews.com

