
KUALA LUMPUR - Kerajaan kini sedang meneliti cadangan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Suruhanjaya Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, ia sebagai langkah untuk mewujudkan sebuah badan bebas yang mempunyai kuasa kawalan tatatertib efektif dan berkesan bagi meningkatkan integriti dalam kalangan penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan.
Jelas Ramkarpal, secara asasnya, mana-mana agensi penguatkuasaan yang menepati tafsiran penguatkuasaan boleh diletakkan di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).
“Cadangan supaya SPRM diletakkan di bawah jadual Akta 700 kini sedang diteliti secara mendalam meliputi pelbagai aspek.
“Untuk makluman Yang Berhormat, satu nota Jemaah Menteri telah pun dikemukakan kepada Kabinet dalam pada 19 April 2023 untuk membincangkan hala tuju isu meletakkan SPRM dalam EAIC.
“Ekoran daripada itu juga, satu jawatankuasa Pro-tem juga telah ditubuhkan,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH - Kuala Selangor) yang bertanyakan sama ada Kerajaan Perpaduan mahu meletakkan SPRM di bawah EAIC sebagai langkah untuk memastikan SPRM yang benar-benar bebas.
Mengulas lanjut mengenai jawatankuasa Pro-tem, beliau berkata, jawatankuasa yang dianggotai pihak berkepentingan itu akan mengesyorkan hasil dapatan bagi mendapatkan ketetapan dasar oleh Jemaah Menteri.
Selain itu katanya, satu mesyuarat akan dibuat oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam masa terdekat untuk meneliti pandangan dan cadangan daripada semua pemegang taruh.

