
BAGAN DATUK: Kerajaan bercadang menggerakkan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 sebagai sukarelawan dalam menghadapi bencana seperti banjir di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata mobilisasi pelatih PLKN adalah sebagai kekuatan sokongan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana sedia ada sama ada peringkat pusat mahupun negeri.
“Sekarang memang ada, umpamanya di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana. Namun, mereka akan berada di bidang berbeza, mungkin data boleh dikumpulkan untuk kita mobilisasikan mereka.
“Namun, jika mereka bekerja mungkin sukar sedikit, tetapi kita boleh cari pendekatan membawa mereka menjadi sukarelawan ketika bencana yang tenaga mereka diperlukan,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 – PLKN 3.0 di Kompleks Sukan Bagan Datuk di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau berpandangan tempoh latihan PLKN selama 45 hari ketika ini boleh ditambah sekurang-kurangnya 90 hari bagi memastikan pelatih memperoleh latihan lebih mantap, khususnya membentuk daya tahan diri.
Beliau berkata, tempoh latihan itu juga wajar dipertimbangkan untuk dilanjutkan hingga 180 hari bagi memperkukuh penerapan nilai serta ketahanan pelatih.
“Saya merasakan tempoh 45 hari itu walaupun mencukupi setakat ini, kalau mahu lebih mantap, haruslah difikirkan supaya dapat digandakan kepada 90 hari sekurang-kurangnya atau kemudiannya 180 hari.
“Ini kerana daya tahan dalam kalangan Wira Muda ini mesti diterapkan melalui kurikulum, insya-Allah, PLKN 4.0 atau 5.0 nanti,” katanya.
Beliau berkata, banyak negara mempunyai program seumpama PLKN, menetapkan tempoh latihan setahun, tetapi kerajaan perlu mengambil kira kemampuan kewangan.
“Pelatih kemudiannya menjadi pegawai diserapkan dalam Khidmat Negara sama ada tentera, polis atau Pertahanan Awam.
“Kita tidak semestinya mengikuti acuan mereka tetapi boleh mencontohi negara berkenaan. Dari segi jangka panjang, kita akan dapat mewujudkan generasi berdisiplin dan mempunyai daya tahan kuat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata, pelatih PLKN juga berpotensi disalurkan ke program TVET atau mengikuti kursus kemahiran disepadukan dalam kurikulum latihan berkenaan.
Katanya, laluan keluar untuk guna tenaga atau tenaga kerja dalam jumlah besar mesti disediakan tanpa perlu melalui mana-mana institusi TVET secara formal, sebaliknya boleh diserapkan melalui PLKN dengan kerjasama Majlis TVET Negara.
The post Kerajaan teliti guna pelatih PLKN sebagai sukarelawan bencana appeared first on Utusan Malaysia.





