Kerajaan teliti langkah bersesuaian bantu rakyat tangani kos sara hidup

LocalPolitics
13 Apr 2026 • 6:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mini Konvensyen PKR di Kuala Terengganu pada Isnin.

​KUALA TERENGGANU - Kerajaan akan terus meneliti langkah serta kaedah bersesuaian bagi menangani isu kenaikan harga barang keperluan dan bahan api yang sedang dialami ketika ini.

​Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited dalam mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya terdapat keperluan untuk melaksanakan sebarang langkah tambahan atau pelarasan pada masa hadapan.

​Menurut beliau, ketika ini beberapa langkah berbentuk rangsangan sudah pun dilaksanakan bagi meringankan beban orang ramai, antaranya pengekalan harga minyak pada paras RM1.99.

​"Selain itu, bantuan diesel untuk sektor pengangkutan termasuk bas sekolah turut diberikan. Itu merupakan antara bentuk bantuan yang sedang dilaksanakan sekarang," katanya.

​Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keperluan pelarasan bajet atau pengenalan semula pakej rangsangan ekonomi dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

​Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan bahawa satu mesyuarat penting akan diadakan esok (Selasa) bagi menilai implikasi keselamatan negara, selain perbincangan di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) serta sekretariat ekonomi.

​"Esok akan diadakan mesyuarat melibatkan aspek keselamatan negara bagi menilai implikasi keselamatan, selain perbincangan di peringkat MTEN dan sekretariat ekonomi.

​"Usaha akan terus dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian sekiranya terdapat keperluan untuk sebarang langkah tambahan (bantuan)," jelas beliau.

Anwar sebelum itu meluangkan masa dalam lawatan kerja selama sehari di Terengganu.

Beliau turut menghadiri Mini Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Terengganu Equestrian Resort (TER).