Kerajaan terus perkemas kerangka pembangunan ECER - Anwar

LocalPolitics
15 Oct 2024 • 10:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Bilangan 2 Tahun 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan terus memperkemas kerangka pembangunan lima tahun akan datang bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) supaya usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan menarik lebih banyak pelaburan ke wilayah Pantai Timur dapat direalisasikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Bilangan 2 Tahun 2024 pada petang tadi.

"Antara teras ekonomi utama sebagai pemacu pertumbuhan yang dibincangkan termasuklah industri terkait Bakul Makanan, pelancongan, pembuatan (hard-to-abate) dan industri marin,” kata beliau menerusi hantaran di laman rasmi beliau di Facebook pada Selasa.

Beliau berkata, peranan sektor logistik dan tenaga boleh baharu sebagai pemboleh daya bagi ECER turut dibincangkan dalam mesyuarat itu.

"Saya dimaklumkan, bagi tempoh tiga suku pertama tahun ini, ECER berjaya mencatatkan sebanyak RM13.3 bilion pelaburan direalisasikan berbanding sasaran RM10 bilion,” kata beliau.

Anwar berkata, jumlah itu melibatkan 21 projek yang berupaya mewujudkan 8,700 peluang pekerjaan dalam pelbagai industri termasuk pembuatan keluli, petrokimia, produk biojisim dan pelancongan.

"Kejayaan ini selari dengan hasrat Kerajaan Madani yang sentiasa menekankan kepentingan pemantauan dan pemudah cara pelaksanaan bagi pelaburan-pelaburan dari dalam dan luar negara yang diumumkan,” kata beliau.

Perdana Menteri menjelaskan mesyuarat itu turut membincangkan perancangan pembangunan bagi ECER selari dengan kerangka penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang sedang dilaksanakan. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved