Kerajaan terus pertingkat keselamatan di Esszone

LocalPolitics
9 Sep 2022 • 2:46 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Kerajaan akan terus mempertingkat keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sejajar kesungguhan kerajaan untuk menjaga kedaulatan negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan akan terus memberi tumpuan yang tinggi di kawasan itu bagi menjamin keselamatan rakyat di Sabah pada setiap masa.

“Kita faham juga apabila ada berita-berita yang mungkin menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat yang mencari rezeki, yang berniaga, yang menjalankan aktiviti harian maka soal keselamatan (adalah) perkara yang paling penting.

“Pasukan komunikasi dikehendaki membuat liputan sepenuhnya perkara (berkaitan usaha keselamatan) yang sedang berjalan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, seramai 23 individu menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi PEDi bagi zon 6 yang melibatkan Parlimen Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kalabakan.

Annuar, yang dalam lawatan kerja tiga hari ke Sabah bermula Khamis, berkata beliau juga akan berpeluang menyaksikan secara dekat operasi keselamatan melibatkan kawasan kepulauan.

Semasa lawatan itu, Annuar turut mengadakan pertemuan dengan rakyat di kawasan terbabit untuk mendapatkan maklum balas mengenai pengalaman mereka daripada aspek keselamatan dan kos barang selaras dengan tanggungjawab beliau sebagai Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

“Sabtu ini (esok), saya akan bersarapan dengan penduduk kampung di Pulau Bum Bum supaya kita dapat berkomunikasi dengan rakyat.

“Saya suka untuk dapatkan maklum balas tentang apa yang mereka lalui, dari segi keselamatan, harga barang, kos sara hidup dan talian perhubungan,” katanya.

Annuar berkata beliau juga akan meninjau beberapa menara komunikasi di Pulau Bum Bum sebagai sebahagian Program Kembara Connecitivity untuk meningkatkan lagi mutu capaian jalur lebar di seluruh Sabah.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.