
Kerajaan Tetap Diserang Sama Ada Dedah Atau Tidak Laporan RCI TH - Nurul Izzah
KUALA PILAH, 30 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan tetap menerima kecaman tidak kira sama ada Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) didedahkan sebelum atau selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata apa yang penting ialah laporan yang didedahkan itu akan membolehkan rakyat menilai dan memahaminya.
“Ini penting untuk kita memastikan Tabung Haji terus dipelihara pada masa hadapan dan kita mahu setiap umat Islam mampu melaksanakan ibadah haji.
“Pada saya buat tak buat (dedah laporan RCI) kita akan diserang juga. Yang penting ialah ketelusan dan keberanian untuk mendedahkannya. Kini, kita terus ke depan menuju hari pengundian,” katanya kepada pemberita, di sini ,hari ini.
Baca juga:Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam menerbitkan Laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nurul Izzah berkata walau apapun yang diramal oleh penganalisis politik berkenaan PRN Negeri Sembilan, keputusan akhir terletak di tangan pengundi.
“Saya berharap pengundi keluar mengundi dan mengekalkan Pakatan Harapan. Saya merayu bagilah peluang kepada Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun) meneruskan agenda pembangunan di Negeri Sembilan,” katanya.
Pada Sabtu ini, sebanyak 867,151 pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu, yang menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
PH bertanding di semua 36 kerusi DUN, diikuti Barisan Nasional (BN) (25) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24), Perikatan Nasional (PN) (11), empat calon Bebas manakala Barisan Jamaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.






