Kerajaan tidak cadang mansuhkan AP import kereta - Tengku Zafrul
zulfadli
18/07/2023 - 10:01
KUALA LUMPUR 18 Julai - Kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan sistem permit import (AP) bagi tujuan mengimport kereta, di sebalik membenarkan Tesla Inc untuk menjual kenderaan elektriknya (EV) secara terus kepada pelanggan di negara ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, cadangan untuk memansuhkan sistem AP itu tidak ada dibincangkan setakat ini.
"AP itu masih ada, apa yang saya fikir saya telah umumkan sebelum ini adalah kerajaan mahu membawa masuk teknologi.
"Kerajaan konsisten bukan hanya untuk Tesla, tetapi kepada sesiapa yang membawa nilai seperti yang dibawakan oleh Tesla.
"Kami akan melayan mereka secara konsisten, ia bukan ekslusif untuk Tesla sahaja," katanya kepada media ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Vendor dan Pelabur Global 2023 di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Tesla bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penting pengeluar kereta elektrik (EV) di rantau ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, berkata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk dalam pertemuan secara maya menzahirkan persetujuan menubuhkan ibu pejabat Tesla di Cyberjaya.

Pengeluar EV dari Amerika Syarikat (AS) itu juga telah mula menjual kereta pertamanya secara rasmi untuk pasaran Malaysia dengan menawarkan model Y dengan harga serendah RM199,000 yang sudah boleh ditempah secara dalam talian. - DagangNews.com


