
KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang menimbangkan kemungkinan untuk membangunkan platform media sosial khusus buat rakyat negara ini.
Mengesahkan perkara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, gergasi media sosial masih gagal menjamin keselamatan pengguna, walaupun mengaut keuntungan besad daripada rakyat negara ini.
Justeru katanya, adalah wajar untuk kerajaan merangka pembangunan platform baharu khusus buat kegunaan rakyat.
"Facebook dianggarkan memperoleh AS$600 juta (RM2.7 bilion) daripada Malaysia tetapi tidak mempunyai komitmen untuk memastikan platform mereka selamat digunakan di Malaysia.
“Bukan mudah untuk membangunkan platform media sosial kita sendiri, tetapi beberapa negara telah mencubanya. Kerajaan akan meneliti perkara ini,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.
Fahmi memberitahu, cadangan berkenaan sebenarnya dikemukakan pengacara selebriti, Datuk Aznil Nawawi selepas Meta menurunkan semua hantaran berkaitan Palestin dari Facebook dan Instagram.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan keras mendesak agar Meta tidak bersikap bacul dan membiarkan diri mereka menjadi perkakas rejim Zionis.
Kenyataan itu dibuat selepas syarikat terbabit menurunkan semua hantaran dan ucapan takziah, termasuk yang dibuat Perdana Menteri atas kematian pemimpin utama Hamas, Ismail Haniyeh.
Haniyeh, 62, maut dalam serangan Zionis ketika berada di Tehran, Iran, 31 Julai lalu.
Turut terbunuh dalam serangan terbabit ialah seorang pengawal peribadi.
Allahyarham berada di negara itu bagi menghadiri upacara mengangkat sumpah Presiden baharu, Dr Masoud Pezeshkian. - Getaran, 5 Ogos 2024

![[VIDEO] Syed Saddiq tak setuju kerajaan bina media sosial sendiri](https://cdn.newswav.com/img/topic/politics.jpeg)

