Kerajaan tumpu lima sektor baharu strategik - Rafizi

Business & Finance
3 Oct 2023 • 8:22 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rafizi - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Strategi kerajaan dalam mendepani kelembapan ekonomi dan ketidaktentuan nilai mata wang global adalah dengan membina asas ekonomi baharu yang kukuh.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, visi yang jelas ini memberi keyakinan kepada pelabur mengenai keupayaan Malaysia kekal berdaya saing meskipun dalam suasana ekonomi yang mencabar.

“Sebab itu kita ambil kira mengenai keperluan untuk memberi tumpuan kepada lima sektor strategik baharu, supaya dalam keadaan yang tidak menentu ini sekalipun kita terus menambah pelaburan-pelaburan untuk tambah kapasiti dalam sektor-sektor ini.

“Ini kerana, dalam satu atau dua tahun lagi ekonomi dunia akan kembali pulih.

Apabila ekonomi dunia pulih, Malaysia akan mendapat laba.

Itu tujuan perancangan-perancangan seperti Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda Awani pada Isnin.

Menurutnya lagi, semua pihak harus menerima hakikat bahawa dunia ketika ini berdepan dengan kelembapan ekonomi yang antara lain terkait dengan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, peningkatan harga barangan serta tenaga pada skala yang meluas.

Namun, beliau berpegang kepada prinsip kitaran ekonomi yang akan melalui fasa naik turun, dan kelembapan yang dihadapi ketika ini juga akan kembali melonjak dalam masa sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

Menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), kerajaan menyasarkan empat misi utama - kemajuan ekonomi rumit (advanced economic complexity); agenda negara digital; ke arah negara sifar karbon; serta mengawal keselamatan dan keterangkuman ekonomi.

Misi tersebut ditumpukan kepada 21 sektor ekonomi dan lima sektor ekonomi baharu adalah dalam bidang aeroangkasa, bahan kimia/petrokimia, ekonomi digital, elektrik dan elektronik dan farmaseutikal. - Awani

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved