Kerajaan Umum Empat Inisiatif Atasi Isu Kekurangan Beras

20 Mar 2024 • 12:32 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kerajaan telah mengumumkan empat inisiatif untuk mengatasi isu kekurangan beras dalam pasaran pada Selasa.

Menurut laporan Berita Harian, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, inisiatif itu dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup terutama semasa bulan Ramadan dan musim perayaan.

image is not available

Foto: Berita Harian

“Bagi meningkatkan akses rakyat kepada bekalan beras pada harga yang munasabah, kerajaan melalui mesyuarat NACCOL bersetuju supaya penurunan harga jualan runcit BPI di antara RM2 hingga RM3 di pasaran dilaksanakan berkuat kuasa pada Rabu, 20 Mac 2024,” katanya.

Mohamad Sabu berkata, kerajaan memutuskan semua stok padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan diproses dan dikeluarkan bagi meningkatkan pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT) di pasaran.

“Kerajaan turut bersetuju semua kontrak kerajaan mengguna pakai sepenuhnya BPI, sekali gus membolehkan bekalan tambahan BPT sebanyak 20,000 tan dapat diedarkan sepenuhnya di pasaran mulai bulan depan.

image is not available

Foto: Facebook Mohamad Sabu

“Dalam meluaskan jaringan pengedaran BPT, aktiviti Jualan Agro MADANI yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) juga akan diperluaskan dari segi lokasi dan peningkatan kekerapan program,” ujarnya.

Tambah beliau, KPKM memberi jaminan akan meningkatkan penguatkuasaan melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di seluruh negara bagi memastikan semua inisiatif diumum dilaksanakan sepenuhnya.

“Sesungguhnya keputusan ini mencerminkan komitmen utuh kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara.

“Semua langkah ini akan dapat meningkatkan ketersediaan bekalan beras kepada rakyat melalui jualan BPI pada harga yang lebih rendah serta pertambahan BPT di pasaran,” tambahnya.

image is not available

Foto: Berita Harian

Sementara itu, KPKM menegaskan bahawa mereka akan meneruskan perbincangan bersama semua pemegang taruh untuk memperhalusi lagi pelan tindakan jangka panjang bagi struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik bagi memastikan industri padi dan beras sentiasa mampan.

Hal itu juga dilakukan untuk memastikan kepentingan dan kebajikan pesawah terjamin serta dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran beras negara.

Sumber: Berita Harian (Mohd Nasaruddin Parzi)