Kerajaan wajar tarik balik lesen Lynas jika terlibat perang AS-Palestin - GAMIS

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 2:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan wajar tarik balik lesen Lynas jika terlibat perang AS-Palestin - GAMIS
Lynas telah menandatangani surat niat mengikat dengan Jabatan Pertahanan AS bagi memuktamadkan perjanjian pembekalan mineral nadir bumi kepada sektor pertahanan negara itu selama empat tahun. Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menarik balik lesen Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) yang mengeluarkan bahan nadir bumi menerusi kilangnya yang terletak di Kuantan, Pahang, sekiranya terdapat bukti kukuh yang menunjukkan Amerika Syarikat (AS) menggunakan bahan nadir bumi (REE) Lynas untuk kegunaan perang menentang Palestin.

Majlis Politik Negeri Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Kedah, Mohamad Aiman Lutfi Mohamad Taufik berkata, Malaysia diibaratkan sebagai tulang belakang kepada AS dengan memberikan tempat untuk memproses dan membekalkan REE kepada negara itu.

“Jadi, saya menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia perlu menarik balik lesen operasi Lynas jika benar menyokong rakyat Palestin seperti yang telah digembar-gemburkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, semua pihak boleh melihat apa yang berlaku di negara Asia Barat ketika ini.

Katanya, walaupun peperangan yang dilihat adalah antara Palestin dan Israel, namun tulang belakang kepada ketenteraan Israel ialah AS itu sendiri.

“Kerajaan Malaysia sama sekali tidak patut menyokong kekejaman Israel terhadap Palestin,” katanya.

Baru-baru ini, gabungan 57 organisasi menggesa Kerajaan Malaysia memastikan operasi oleh Lynas Rare Earths Ltd. tidak melanggar undang-undang antarabangsa susulan perjanjian syarikat itu untuk membekalkan oksida nadir bumi kepada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.

Dalam surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gabungan itu berkata, perjanjian bernilai kira-kira AS$96 juta dalam tempoh empat tahun menghubungkan aktiviti pemprosesan di Malaysia dengan rantaian bekalan ketenteraan luar negara.

Lynas, penapis nadir bumi terbesar di luar China, telah menandatangani surat niat mengikat dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) bagi memuktamadkan perjanjian pembekalan mineral nadir bumi kepada sektor pertahanan negara itu selama empat tahun, sekali gus memastikan pangkalan industri pertahanan AS terus mempunyai akses kepada oksida nadir bumi ringan dan berat yang penting untuk pembuatan moden.

Di bawah perjanjian ini, Jabatan Pertahanan akan memperuntukkan kira-kira AS$96 juta (RM377.62 juta) untuk membeli oksida nadir bumi daripada Lynas.

View Original Article