
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan yakin momentum memperkasa ekonomi negara, meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran dapat diteruskan menerusi strategi yang digariskan Majlis Pekerjaan Negara (NEC).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar) berkata NEC memberi fokus kepada tiga komponen utama iaitu penciptaan pekerjaan, program penempatan, latihan dan peningkatan kemahiran serta menangani isu struktural pasaran buruh.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata bagi tahun ini, NEC mengenal pasti 49 inisiatif berkaitan pekerjaan di bawah Belanjawan 2023 untuk dilaksanakan oleh 63 agensi pelaksana.
“Di samping itu, 12 daripada 32 fokus inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Penciptaan Pekerjaan Nasional akan turut mula dilaksanakan dalam usaha menangani isu struktural Pasaran Buruh.
“NEC juga bersetuju dengan sasaran sebanyak 119,964 penciptaan pekerjaan yang akan direalisasikan melalui pelaburan langsung asing dan domestik bagi tahun 2023,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Fadillah mempengerusikan mesyuarat pertama NEC di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan dengan komposisi keahlian baharu di Bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata mesyuarat itu turut membentangkan prestasi pencapaian inisiatif kerajaan bagi 2022 yang menyaksikan 144,376 pekerjaan baharu berjaya direalisasikan melalui pelaburan langsung asing dan domestik yang diterajui bersama oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Ekonomi melalui sembilan Agensi Penggalakan Pelaburan.
“Pencapaian ini adalah 104 peratus iaitu lebih tinggi daripada sasaran 138,342 pekerjaan, selain kadar penggangguran juga menurun kepada 3.6 peratus iaitu lebih rendah daripada sasaran 4.0 peratus bagi tahun 2022,” katanya
Meskipun kadar pengangguran menurun kepada 3.5 peratus bagi Suku Tahun Pertama 2023, Fadillah berkata terdapat beberapa isu sektor pekerjaan perlu ditangani iaitu pengangguran belia, ketidaksepadanan penawaran dan permintaan, kadar upah yang bersesuaian, serta kebergantungan tenaga kerja asing dan peningkatan produktiviti.
Menurutnya, kerajaan memandang serius isu-isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang pekerjaan, perlindungan sosial pekerja dan isu kebolehpasaran siswazah.
Sehubungan itu, beliau berkata NEC akan terus memberi penekanan dalam memastikan setiap keputusan dan inisiatif pekerjaan dipantau rapat pelaksanaannya bagi memastikan keberhasilan yang optimum dapat dicapai. -Bernama



