
PETALING JAYA – Pernah membeli barangan murah di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) ketika hidup susah menjadi alasan seorang lelaki mahu menyumbangkan wang kepada Datuk Seri Najib Razak.
Lebih menarik, pemilik akaun Facebook, Khairul Johari berkata, dia tetap mahu berbuat demikian meskipun mendakwa hanya mempunyai RM200 dalam poket untuk menampung perbelanjaannya sehingga hujung bulan.
Menurut Khairul, ketika mula bekerja dahulu, gajinya kecil dan setiap perbelanjaan termasuk mengisi minyak motosikal serta membeli barangan keperluan perlu dikira.
Katanya, ketika itulah dia antara lain berbelanja di KR1M yang disifatkannya membantu mendapatkan barangan keperluan pada harga mampu milik.
“Bayangkan, ketika tengah susah dan duit tidak banyak, apabila ada kedai yang boleh membantu kita membeli barangan keperluan dengan harga yang mampu, mestilah kita rasa bersyukur.
“Jadi salahkah kalau hari ini aku mahu ucap terima kasih atas perkara yang pernah aku rasa manfaatnya?” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Atas pengalaman membeli-belah di kedai berkenaan, Khairul berkata, dia kini mahu ‘membalas budi’ dengan menyumbang kepada Najib.
Malah, dia tetap dengan keputusan tersebut walaupun mengakui wang yang berada dalam poketnya ketika ini cuma RM200.
“Duit dalam poket aku sekarang pun ada RM200 sahaja untuk belanja sampai hujung bulan ini. Tapi aku tetap mahu menyumbang sedikit.
“Aku pernah merasai manfaat daripada inisiatif beliau ketika aku susah dahulu. Jadi hari ini aku mahu membalas budi setakat yang aku mampu,” katanya.
Khairul turut menepis pandangan supaya wang tersebut lebih baik disedekahkan kepada pusat tahfiz atau golongan susah dengan mendakwa dia hampir setiap bulan menghantar kambing ke pusat tahfiz dan masjid.
Dia juga mendakwa pernah menggunakan wang sendiri bagi membantu membayar kerugian pasar raya membabitkan individu yang mencuri barangan makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, Khairul menegaskan dia tidak pernah meminta orang lain mengikut tindakannya atau menyumbangkan wang kepada Najib.
“Aku tidak ambil duit korang dan aku tidak minta korang setuju dengan aku.
“Aku cuma berkongsi pengalaman sendiri dan kenapa aku rasa mahu membalas budi,” katanya.
Katanya, setiap individu mempunyai pengalaman hidup berbeza dan berharap orang ramai menghormati keputusannya menggunakan wang sendiri. – KOSMO! ONLINE
The post Kerana Kedai 1Malaysia, aku menyumbang untuk Najib appeared first on Kosmo Online.
