Kerangka insentif cukai baharu pacu pelaburan bernilai tinggi ke Malaysia - Amir Hamzah

LocalBusiness & Finance
2 Sep 2025 • 6:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerangka insentif cukai baharu pacu pelaburan bernilai tinggi ke Malaysia - Amir Hamzah

image is not available

02/09/2025 - 18:24

KUALA LUMPUR 2 Sept - Kerajaan kini dalam proses memuktamadkan kerangka insentif cukai baharu bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, kerangka tersebut akan menilai keberkesanan sebarang pemberian insentif cukai melalui pendekatan bersasar dan fleksibel yang relevan dengan perubahan ekonomi serta landskap perniagaan.

“Setiap cadangan pelaburan akan dinilai menggunakan National Investment Aspiration Scorecard yang mengukur kualiti pelaburan termasuk limpahan ekonomi dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi,” katanya semasa ucapan penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara.

Amir Hamzah berkata, komitmen kerajaan untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara dengan mengurangkan pinjaman baharu, menurunkan defisit serta memperluas hasil negara melalui langkah cukai yang lebih bersasar.

Pinjaman baharu kerajaan, katanya, telah berkurang kepada RM76.8 bilion pada 2024 berbanding RM99.4 bilion pada 2022, manakala defisit dijangka menurun kepada sekitar 3% dalam jangka masa sederhana.

Beliau berkata, bahawa peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) termasuk terhadap barangan premium dan perkhidmatan kewangan, serta pelaksanaan e-invois dan teknologi pengimbasan pintar berasaskan AI, akan meningkatkan kutipan hasil negara serta menambah baik kecekapan perbelanjaan awam.

Mengenai prospek ekonomi negara, Amir Hamzah berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang antara 4.0% hingga 4.8% pada 2025, dengan purata pertumbuhan 4.5% hingga 5.5% setahun sepanjang tempoh RMKe-13, disokong oleh pelaburan awam berjumlah RM611 bilion dalam sektor berimpak tinggi.

“RMK13 menuntut disiplin tinggi dalam pengurusan fiskal. Ia adalah tanggungjawab yang mesti dipikul bersama untuk memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan,” katanya. - BERNAMA

standard