
HASRAT murni Muhammad Shakir Zufayri Md Rafiqul yang mahu menyenangkan hidup kedua-dua ibu bapanya hingga akhir hayat tidak kesampaian apabila ditimpa musibah penyakit yang tak disangka-sangka.
Pemuda berusia 22 tahun itu disahkan menghidap kanser leukemia limfoblastik akut (ALL) pada Februari tahun lalu, sekali gus mengubah 360 darjah hidupnya.
Kepada SinarPlus, Muhammad Shakir Zufayri atau mesra disapa Shakir itu memberitahu, dunianya sudah tidak seperti dahulu apabila terlantar sakit dan memerlukan bantuan untuk bergerak.
“Sekarang ini, nak bangun sendiri pun tak larat dan perlukan bantuan orang lain. Lagi-lagi bila saya dijangkiti kuman dalam perut membuatkan kerap sesak nafas.

Saat ditanya bagaimana penyakit tersebut dikesan? Anak sulung daripada tiga beradik itu sebenarnya tidak menduga demam yang datang dan pergi, selain gusi kerap berdarah rupa-rupanya satu petanda buruk.
“Disebabkan sakit berpanjangan, saya dapat cuti sakit selama seminggu. Memang hati tak sedap dan rasa pelik, jadi saya ambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Shakir ditempatkan di zon kritikal sebelum dibawa ke unit rawatan rapi selepas ujian darah menunjukkan sel darah putih terlalu tinggi dan memerlukan bantuan pernafasan.
Hasil ujian biopsi sumsum tulang yang dilakukan doktor pakar cukup memeranjatkan apabila lelaki itu disahkan menghidap kanser darah sebelum dipindahkan ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.
“Sebelum disahkan sakit, saya bekerja sebagai juruteknik di sebuah hospital di Singapura dan memang berulang-alik dari Johor ke sana untuk mencari rezeki.
Bantuan
Bersembang dengan pemuda cekal itu merungkaikan satu lagi kisah sedih apabila ayahnya, Md Rafiqul Abu Talib, 50, tidak mampu bekerja selepas diserang strok separuh badan.

Ibunya, Marliana Mohd Kassim, 47, pula menghidap sakit buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu.
“Sebenarnya, saya sudah pun menjalani rawatan kemoterapi untuk enam kali kitaran, namun malangnya sel kanser pasif dan sudah tak bertindak balas dengan ubat.

Hilang punca pendapatan membuatkan anak jati Kuala Lumpur itu buntu memikirkan kos rawatan yang perlu ditanggung, sementelah duit simpanan semakin susut.
“Buat masa ini, saya bergantung kepada ihsan orang ramai, termasuk saudara-mara yang sudi menghulurkan dana untuk kelangsungan hidup kami sekeluarga.

Meski menerima bantuan Baitulmal untuk meringankan beban rawatan ibunya, namun Shakir akui, ia masih belum cukup untuk menampung keperluan perubatan lain yang masih ditanggung.
“Justeru, saya mohon kepada keprihatinan orang ramai supaya dapat bantu keluarga kami, sementara ada ruang dan peluang bantuan lain yang boleh dimohon.
Orang ramai yang prihatin, sumbangan dana boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 014132428284 atas nama Muhammad Shakir Zufayri Bin Md Rafiqul.
