
KUALA LUMPUR – Percubaan berani sebuah syarikat usahawan tempatan membuat variasi kerepek ubi keledek menjadi dua warna berbaloi apabila ia mencipta rekod Asia dan ASEAN sekali gus melakar produk itu di pentas antarabangsa.
Produk dikenali sebagai Double Triple Sweet Potato itu menggabungkan ubi keledek ungu dan oren dalam satu keping untuk menghasilkan dua rasa serta tekstur berbeza.
Pengarah Urusan CWP Food Manufacturing Sdn Bhd, Yanice Cheong Ming Yan berkata, pengiktirafan itu diperoleh selepas pihaknya menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di sini semalam.
Katanya, produk di bawah jenama Snackiss itu turut mempunyai pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sekali gus membuktikan inovasi makanan tradisional mampu memenuhi tuntutan pasaran halal global.
“Walaupun kami bermula sebagai pengeluar snek tradisional, inovasi tetap penting untuk memastikan produk terus berkembang dan mampu menembusi pasaran baharu,” katanya.
Menurut Yanice, idea berkenaan tercetus daripada pengalaman zaman kanak-kanaknya menikmati pencuci mulut sup ubi keledek yang menggunakan pelbagai warna ubi dalam satu hidangan.
Tambahnya, rasa makanan itu hampir sempurna kerana menggabungkan dua jenis yang boleh dinikmati dalam sekeping kerepek.
“Bahan mentah diperoleh daripada petani Ipoh yang menepati standard kilang,” katanya.
CWP yang ditubuhkan pada 2008 bermula sebagai perusahaan kecil berasaskan snek bermusim sebelum berkembang menjadi pengeluar makanan yang mengeksport produk ke beberapa pasaran Asia dan Eropah.
Kira-kira 60 peratus perniagaan syarikat kini melibatkan penjualan snek tradisional Malaysia ke pasaran luar negara, termasuk Singapura, Hong Kong, Taiwan dan China.
The post Kerepek dua warna cipta kelainan appeared first on Kosmo Online.
