Kereta dipandu terbakar, warga emas maut selepas melecur 90 peratus

5 Oct 2024 • 8:20 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Seorang lelaki warga emas maut selepas melecur 90 peratus apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dipandunya terbakar dalam kejadian di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selangor, petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.39 petang sebelum lapan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba menemukan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 80-an tidak jauh daripada kenderaan yang terbakar.

“Tubuh mangsa dianggarkan melecur 90 peratus dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut dan setakat ini siasatan dijalankan untuk mengenal pasti punca kenderaan tersebut terbakar.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved