
SERDANG - Kemajuan teknologi dan inovasi kereta elektrik terutama dari China mencuri perhatian pengunjung yang hadir ke pameran Malaysia Autoshow 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Maeps.
Majoriti pengunjung mengakui teruja menyaksikan pelbagai model kereta elektrik dari jenama terkenal yang menawarkan teknologi canggih serta reka bentuk futuristik.

Pekerja swasta, Baharudin Mohd Zanggi, 44, misalnya sanggup memandu dari Tanjung Malim semata-mata untuk datang ke pameran itu.
“Saya ambil cuti untuk datang hari ini semata-mata untuk tengok sendiri kereta elektrik terutama dari pengeluar kereta China.
“Bagi saya pasaran kereta elektrik China ini sangat kompetitif dari segi harga, teknologi, reka bentuk model kereta, memang teknologi mereka sangat ke hadapan,” katanya ketika ditemui wartawan Getaran di acara tersebut.

Muhd Muslim Mat Samsudin, 39, dari Shah Alam turut melahirkan pendapat senada.
Katanya, boleh dilihat kereta elektrik semakin menguasai pasaran.
“Memang ada perubahan ketara. Dulu banyak kenderaan petrol tapi sekarang banyak kereta elektrik terutama dari China, jadi memang persaingan itu makin rancak.
“Kemudian jenama tempatan pun dah mula buat kereta elektrik seperti Proton dan Perodua, jadi saya nampak potensi kita akan bangunkan teknologi ini,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Meor Shahril, 38, dari Teluk Panglima Garang, dia mengambil peluang membeli kereta pada pameran ini kerana tawaran istimewa dan diskaun eksklusif daripada pengedar.
“Memang tujuan saya datang nak beli kereta sebab memang berbaloi.
“Masa inilah pengeluar akan beri banyak ganjaran eksklusif termasuk boleh dapat harga lebih rendah,” katanya.

Pameran Autoshow 2024 yang berlangsung selama enam hari (21 Mei-26 Mei) dianjurkan Institut Automotif Robotik Lott Malaysia (MARII Malaysia).
Edisi tahun ke tujuh itu lebih meriah dengan pelancaran lebih 45 model kereta dan motosikal.
Antara pengeluar kereta yang melancarkan model terbaharu pada pameran itu ialah Tesla, Stellantis NV, NETA Auto dan Smart Malaysia.
Menurut MARII, segmen kereta elektrik terus mendapat perhatian majoriti pengeluar kereta yang berlumba-lumba mempamerkan dan melancarkan segmen terbaharu mereka.
Justeru, MARII yakin akan pertambahan melonjak jualan kereta elektrik tahun ini.
Tahun lepas, jualan kenderaan elektrik merekodkan 41 peratus daripada 2200 jumlah keseluruhan tempahan. - Getaran, 25 Mei 2024


