
Kereta Bertembung Bas, Polis Bantuan Dilapor Maut
Dalam satu kejadian awal pagi tadi di Jalan Gua-Musang-Kuala Krai, seorang polis bantuan dilaporkan maut apabila kenderaan jenis Proton Persona yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas.
Lapor Sinar Harian, difahamkan mangsa yang berumur 20 tahun ketika itu sedang pulang dari tempat kerjanya sebelum nahas berlaku pada pukul 1 pagi tersebut.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa yang memandu kenderaan tersebut disyaki telah memotong beberapa buah kenderaan lain berdasarkan siasatan awal.
“Tindakan itu menyebabkan kereta tersebut telah bertembung dengan sebuah bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.
“Semasa kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari bandar Gua Musang hendak pulang ke rumahnya di Chiku 2,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad menerusi Sinar Harian.
Bagaimanapun, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat, maklum Choon Foo.
Susulan itu Choon Foo berkata, kes yang dilapor berpunca akibat memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian tersebut membawa kepada siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: Sinar Harian
The post Kereta Potong Kenderaan Bertembung Bas, Polis Bantuan Dilapor Maut appeared first on Siakap Keli.
