Kereta Senang Terbakar Akibat Ubah Suai Pendawaian, Amaran JBPM Sarawak

8 Apr 2025 • 12:27 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Aksesori Tambahan Boleh Undang Bahaya

Kereta Senang Terbakar Akibat Ubah Suai Pendawaian, Amaran JBPM Sarawak. Kes kebakaran kereta yang semakin kerap berlaku di jalan raya sekitar Sarawak kini dikaitkan dengan satu punca utama yang ramai mungkin terlepas pandang – sistem pendawaian elektrik yang terlebih beban akibat pengubahsuaian dan pemasangan aksesori berlebihan.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Jamri Masran, kebanyakan kebakaran kereta bukan berpunca daripada enjin atau kebocoran minyak seperti yang sering disangka, sebaliknya daripada sistem elektrik yang tidak lagi mampu menampung beban tambahan.

image is not available
Gambar sekadar hiasan

Biasanya daripada statistik dan penemuan kita, kalau kereta terbakar punca berlaku kebakaran adalah berkaitan isu elektrikal. Jarang sekali berpunca daripada enjin,” jelas beliau kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri anjuran JBPM Sarawak yang diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah malam tadi. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Micheal Tiang Ming Tee serta Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Othman Abdullah.

Antara pengubahsuaian yang kerap dilakukan pemilik kereta termasuklah penambahan sistem audio seperti speaker dan radio berkuasa tinggi yang memerlukan penggunaan elektrik lebih besar. Perubahan ini, walaupun nampak kecil, mampu menjejaskan sistem pendawaian asal kenderaan yang tidak direka untuk menampung beban tambahan tersebut.

“Kalau nak buat tuntutan daripada syarikat pengeluar pun, sudah tentu tak dilayan kerana sudah membuat modifikasi,” kata Jamri.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar pemilik kenderaan di Sarawak berfikir panjang sebelum melakukan sebarang ubah suai yang boleh membahayakan nyawa.

“Adalah baik supaya mengekalkan seperti mana keadaan keluar daripada kilang demi keselamatan mereka,” tambahnya.

Baca juga cerita semasa di bawah: