Tesla akan memberikan beberapa ciri baharu kepada pemilik kenderaan mereka sempena musim perayaan minggu depan. Ciri paling menarik ialah kereta Tesla akan secara automatik melakukan panggilan kecemasan apabila mengesan kemalangan dan beg udara diaktifkan. Buat masa ini hanya panggilan 911 sahaja disahkan disokong tetapi tidak diketahui sama ada panggilan 999 juga dapat dilakukan di Malaysia.

Turut bakal diberikan ialah imej 3D realistik persekitaran akan dipaparkan apabila ingin meletakkan kenderaan. Kepada penumpang belakang pula, aksesori audio akhirnya dapat ditambat kepada sistem hiburan untuk tempat duduk penumpang. Sistem pemetaan Tesla juga akan menunjukkan lokasi kamera mengesan kelajuan pada laluan yang ingin digunakan.
Dari sudut keselamatan pula warna merah akan dipaparkan pada skrin utama kereta apabila kamera sisi mengesan kewujudan objek atau kenderaan. Sistem kamera sentri juga boleh menggunakan sudut daripada tujuh kamera. Akhir sekali mod Light Show kini ditambah dengan satu tema baharu yang diberi nama The Arrival.
- Sumber
- Sumber



