
Acara yang menyerlahkan semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia, Keretapi Sarong 2024 (KS24) bakal kembali pada 14 September ini dengan sambutan penuh warna-warni sempena Hari Malaysia ke-61.
Tahun ini, acara ini mengangkat tema, ‘Bangga Malaysia’ yang menampilkan kekuatan jenama tempatan yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia, untuk Malaysia, dan juga dunia.
Inisiatif ini diharapkan mampu membawa jenama-jenama tempatan ini untuk terbang lebih tinggi, sekaligus mengiktiraf peranan mereka dalam membentuk identiti Malaysia dan mempamerkan potensi komersil budaya di peringkat nasional, juga antarabangsa.
“Bangga Malaysia’ bukan sekadar tema tahun ini ia adalah kenyataan yang kukuh tentang kebanggaan negara kita terhadap jenama tempatan yang membentuk identiti.”
“Melalui Keretapi Sarong 2024, kita bukan sahaja meraikan penyatuan kita, tetapi juga mempamerkan kreativiti dan ketahanan jenama Malaysia, menjadikan mereka simbol perpaduan dan warisan budaya.”
“Kami sangat gembira kerana mendapat sokongan daripada jenama tempatan yang berkongsi visi kami untuk mengangkat kecemerlangan Malaysia ke mata dunia,” ujar Pengasas Bersama Locco dan Pengarah Program KS2024, Shamsul Bahrin Zainuzzaman.

Pada sidang media yang diadakan baru-baru ini, pihak penganjur Locco turut mengumumkan tentang penampilan istimewa Ratu Pop Etnik, Noraniza Idris pada acara itu nanti.
“Penyanyi ini terpilih kerana dia merupakan seorang artis yang terkenal dengan minat yang mendalam terhadap seni muzik etnik kreatif. Jadi, penampilannya sudah pasti menepati mood dan suasana acara yang ingin dicipta pada penganjuran yang memasuki tahun ke-8 ini,” ulas Shamsul.
Dikenali dengan lagu-lagu klasik dan tradisional Melayu yang tidak lapuk dek zaman, Noraniza Idris akan membawa sentuhan budaya yang autentik kepada sambutan ini, memperkukuh hubungan acara ini dengan warisan kaya Malaysia.
Pelbagai Kempen Daripada Rakan Strategik
Dengan rekod membanggakan pada penganjuran terdahulu, KS2024 mula membuka mata banyak pihak, yang akhirnya menarik minat mereka untuk sama-sama terlibat secara langsung.
Buktinya, acara tahun mendapat sokongan dan tajaan daripada lebih 40 rakan strategik.
“Barisan penaja hebat, kesemuanya menyumbang secara unik kepada sambutan meraikan kesepaduan tema, ‘Bangga Malaysia’. Malah mereka juga bersiap sedia dengan kempen khas bagi memastikan acara ini dapat diraikan dengan penuh kemeriahan dan lancar.
“Terima kasih juga kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia melalui MATIC untuk kerjasama yang berterusan untuk penganjuran Keretapi Sarong,” ujar Shamsul.
Berikut di antara kempen atau kemudahan yang tersedia sempena KS2024 yang anda mesti tahu:

1. MyCity Passes - Prasarana
Selaku peneraju utama pengangkutan awam negara, Prasarana berperanan penting dalam memastikan kelancaran KS2024 sejak 2017, memudahkan ribuan peserta untuk menikmati pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan. Mudah dan lancar, pengguna dinasihat untuk menggunakan Touch ’n Go dengan baki yang mencukupi atau MyCity Passes untuk perjalanan tanpa gangguan di KS2024.
2. ‘Ekspres Lah Best’ - ERL
ERL, menerusi kempen ‘Ekspres Lah Best’ turut menonjolkan pelbagai keunikan daya tarikan lokal kebanggaan Malaysia dengan susunan pelbagai aktiviti menarik. Ada tawaran harga istimewa pergi balik untuk pemakai sarong dari Putrajaya & Cyberjaya ke KL Sentral pada 14 September dengan harga RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak.
3. #HotlinkJaguh5GUntukmu Aktifkan #KeretapiSarong24- Hotlink
Sokongan Hotlink mengaktifkan jaringan supaya semua rakyat kekal berhubung dengan rangkaian yang pantas. Hotlink membantu memudahkan perjalanan acara ini, membolehkan peserta berkongsi pengalaman, mendapatkan maklumat terkini, dan menikmati kelancaran sepanjang acara.
4. ‘Pelikat Gaya Kita’ - Siti Khadijah (SK)
SK akan melancarkan kempen bergaya yang mengetengahkan semula pelikat tradisional, menggabungkan warisan dengan fesyen kontemporari.
5. Mendukung Aspirasi Merentasi Generasi - Bank Simpanan Nasional (BSN)
Kempen BSN akan menonjolkan komitmen mereka untuk menyokong aspirasi rakyat Malaysia merentas generasi, mencerminkan peranan mereka dalam pertumbuhan dan perpaduan negara.
KS2024 turut dimeriahkan dengan penglibatan pelbagai komuniti dari pelbagai negeri di seluruh Malaysia, menambahkan lagi keceriaan dan mempamerkan kekuatan perpaduan dalam kepelbagaian.
Flash mob ini akan turut disertai komuniti lokal dan setempat di pelbagai bandar dan stesen di seluruh Malaysia, termasuk Subang Jaya, Putrajaya Sentral, Gombak, KL Sentral, Kajang, Ampang, TTDI, UPM dan Sri Damansara Sentral.
Selain acara utama di Lembah Klang, flash mob serentak juga akan rancak berlangsung di lokasi terpilih seperti Johor Bahru, Kota Bharu, Ipoh, Bukit Mertajam, dan Alor Setar.
Lebih membanggakan, ia juga akan diadakan di kota Paris dan Berlin yang menonjolkan jangkauan global dan daya tarikan unik sambutan khas Malaysia ini. Jadi, seandainya anda ada di dua kota ini, bolehlah sama-sama turut serta. Jangan lupa bawa pakaian tradisional!
Untuk maklumat lanjut mengenai Keretapi Sarong dan untuk mengikuti perkembangan terkini, layari https://www.locco.com.my, atau ikuti mereka di Instagram, @locco.my. – Getaran, 5 September 2024
Foto : Locco


