‘Keretapi Sarong’ Kemeriahan dan Keunikan Sambutan Hari Malaysia

29 Dec 2023 • 10:00 AM MYT
Alia Safiah
Alia Safiah

A student who loves exploring and sharing her adventures with you!

Image from: ‘Keretapi Sarong’ Kemeriahan dan Keunikan Sambutan Hari Malaysia
Gambar 1 acara Keretapi Sarong 2023 yang diberi sambutan meriah oleh rakyat Malaysia. (Gambar oleh iklensa)

Keretapi Sarong ialah sebuah acara Flash Mob bertujuan untuk peserta menikmati pemandangan kota di sekitar Lembah Klang yang dianjurkan di Malaysia pada salah satu hari istimewa dalam Malaysia dengan pengunjung perlu mengenakan busana sarong sebagai tema utama menaiki pengangkutan awam seperti kereta api, MRT, LRT dan KTM. Acara ini bertujuan menyambut kepelbagaian dan keharmonian budaya di Malaysia. Keretapi Sarong mula dianjurkan pada 2012 oleh Random Alphabet, dan terhenti selama tiga tahun akibat wabak penyakit Covid-19 yang melanda di seluruh dunia. Kemudian dianjurkan semula pada 2022 dan menjadi semakin bekembang.

Selepas tiga tahun terhenti, Keretapi Sarong dimulakan semula penganjurannya bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sekaligus ingin memartabatkan busana asli iaitu sarung. Ia dianjurkan sempena Hari Malaysia yang melibatkan beribu-ribu orang menaiki kenderaan awam memakai kain batik dan kain pelikat sebagai pakaian utama mereka. Acara ini dianjurkan semula oleh Local Companion (LOCCO) bermula tahun 2017 yang merupakan sebuah komuniti pertubuhan bukan kerajaan. Keretapi Sarong 2023 (KS 2023) telah menetapkan sebanyak tujuh stesen pengangkutan awam untuk acara ini iaitu, KL Sentral Light Rail Transit (LRT), Gombak LRT, Ampang LRT, Subang Jaya LRT, Kajang Mass Rapid Transit (MRT), Bandar Utama MRT and KLIA Transit, sebelum berkumpul di lokasi Rahsia.

Terdapat juga acara yang sama diadakan di negeri-negeri lain seperti di Johor Bahru (sepanjang Sungai Sengget), Ipoh Railway Station (KTMB Ipoh) dan Kuala Terengganu (Kampung Budaya Terengganu), tidak lupa diluar negara juga iaitu di London, United Kingdom (Battersea Power Station).

Pada tahun 2023 acara Keretapi Sarong semakin meriah dengan disertai oleh rakyat Malaysia daripada seluruh pelusuk negara dan juga disertai oleh pelancong-pelancong sehingga mencecah 10,000 orang. Tema pada tahun ini merupakan pakaian etnik. Oleh itu, semua peserta yang mengikut serta acara ini mengenakan kreativiti masing-masing berdandan dengan baju etnik kaum masing-masing dan juga bersarong. Ada yang hadir dengan pakaian etnik Melayu iaitu berbaju songket, berbaju puteri Perak, ada yang berbaju etnik Orang Asli, Iban Kadazan, Baba Nyonya dan lain-lain.

Image from: ‘Keretapi Sarong’ Kemeriahan dan Keunikan Sambutan Hari Malaysia
Gambar 2 pengunjung yang berasal dari pelbagai negeri bergambar bersama-sama dengan mengenakan busana etnik mengikut kreativiti masing-masing. (Gambar oleh rozyana rabaiee)

Pengunjung dari Selangor, Jaslene Katrina Jefri, 20, berasa teruja, pertama kali menyertai program itu.

“Saya pertama kali berasa gembira dan merasai meriahnya orang Malaysia menyambut Hari Malaysia yang istimewa buat seluruh warga Malaysia. Saya dapat melihat semua rakyat Malaysia bersemangat berpakaian serba cantik dan segak berbaju tradisional dari awal pagi berkumpul untuk memeriahkan Keretapi Sarong. Sebelum ini, hanya dapat lihat melalui sosial media Sahaja,” Katanya.

Sebelum pengunjung bergerak menaiki gerabak kereta api, terdapat pelbagai aktiviti yang dilakukan di setiap stesen menunggu. Sebagai contoh, di stesen LRT Subang Jaya terdapat kumpulan mendendangkan nyanyian lagu tradisional, di stesen LRT Gombak pula terdapat persembahan dikir barat dan di stesen LRT Ampang pula terdapat perarakan oleh komuniti Baba Nyonya. Kemesraan pengunjung dapat dilihat dengan sangat menonjol di mana pengunjung sering bergambar bersama dan beramah mesra antara mereka atas semangat patriotisme walaupun tidak mengenali satu sama lain.

Image from: ‘Keretapi Sarong’ Kemeriahan dan Keunikan Sambutan Hari Malaysia
Gambar 3 semua pengunjung di stesen LRT Subang Jaya berkumpul dan menyanyi bersama-sama. (Gambar oleh Ziemm)

Setelah itu, untuk memeriahkan suasana sepanjang perjalanan menaiki pengkutan awam, terdapat pelbagai lagu tradisional dimainkan dan semua pengunjung menyanyi bersama-sama dan mengibarkan Jalur Gemilang. Antara lagu yang dinyanyikan bersama ialah, lagu Negeraku, Jalur Gemilang, Gemuruh, Standing In The Eyes Of The World, Rasa Sayang, Dikir Puteri, Enjit Enjit Semut, Lemak Manis, Can Mali Can dan Anak Tupai. Suasana di dalam gerabak sangat meriah dan semua pengunjung tidak kira bangsa, agama dan usia, sama-sama turut menyanyikan lagu tradisional dan ikatan perpaduan antara rakyat Malaysia juga dapat dirasai. Dengan suasana begini, jelaslah bahawa semua rakyat Malaysia sangat menyayangi adat tradisi Malaysia.

Sampai sahaja di Stesen LRT Masjid Jamek, semua pengunjung daripada setiap stesen akan berjalan kaki beramai-ramai membawa sepanduk, mengibarkan bendera negeri masing-masing dan bendera negara Malaysia dan juga menyanyikan lagu tradisional bersama-sama sambil menuju ke destinasi rahsia yang dinanti-nantikan iaitu Dataran Merdeka. Walaupun dalam keadaan jalan raya yang sesak tetapi semua pemandu sangat prihatin dan memberi keutamaan kepada semua pengunjung untuk berjalan berarak ke Dataran Merdeka.

Image from: ‘Keretapi Sarong’ Kemeriahan dan Keunikan Sambutan Hari Malaysia
Gambar 4 pengunjung berarak beramai-ramai ke Dataran Merdeka. (Gambar oleh Azizah)

Pengunjung dari Perak, Aiman Farizal Yee-Ar, 20, berasa kagum dengan sikap rakyat Malaysia dan keunikan Malaysia.

“Sewaktu kami berarak tersebut semua pemandu sangat prihatin dengan memberi laluan kepada kami untuk melintas terlebih dahulu dan mereka turut menyanyi lagu irama Melayu Tradisional bersama-sama kami. Waktu itu saya berasa amat kagum kerana dapat melihat sendiri semangat bersatu padu antara rakyat tersebut. Kemudian waktu itu juga terdapat satu bas yang membawa pelancong daripada China tersangkut dalam kesesakan jalan raya tersebut tetapi pelancong tersebut semua melambaikan tangan kepada kami dan turut bergembira melihat perarakan Keretapi Sarong ini. Pada Hari Malaysia ini, kita telah membuktikan bahawa Malaysia adalah negara yang unik berbanding negara-negara lain,” katanya.

Setelah sampai di Dataran Merdeka bermulalah aktiviti sebenar Keretapi Sarong iaitu persembahan oleh pelawak terkenal Malaysia Harith Iskandar, Tontonan movie pendek, pertunjukkan fesyen, persembahan nyanyi dan tarian oleh Kumpulan Pelajar Seni Uitm, dan Air Asia dan yang paling dinanti-nantikan oleh pengunjung iaitu Joget Lambak. Joget Lambak merupakan aktiviti yang meilbatkan semua pengunjung menari bersama di Dataran Merdeka tersebut beramai-ramai sambil didendangkan dengan lagu-lagu irama Malaysia.

Image from: ‘Keretapi Sarong’ Kemeriahan dan Keunikan Sambutan Hari Malaysia
Gambar 5 acara joget lambak dengan dendangan lagu irama etnik. (Gambar oleh fatul sohaimi)

Terdapat juga acara-acara tradisional sampingan yang dianjurkan seperti permainan klasik iaitu Congkak, Batu Seremban, Terompah Kayu dan Dam Haji. Ada juga pertandingan Kopi Tarik oleh Kopi Wonda.

Pengarah Keretapi Sarong 2023, Shamsul Bahrin Zainuzzaman, berkata acara ini telah mencapai matlamat utamanya, iaitu untuk melihat rakyat Malaysia berbangga memakai pakaian tradisi etnik masing-masing dengan menaiki pengangkutan awam sambil memperagakan busana sarong.

Nor Alia Safiah binti Saihuddin

(Universiti Sains Islam Malaysia)


Alia Safiah adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.