
“Belajar tinggi-tinggi, nanti senang dapat kerja bagus", ini adalah antara nasihat yang sering kita dengar daripada mulut ibu bapa kepada anak-anak kita jika kita bercakap tentang pelajaran. Memang tidak dinafikan , pelajaran adalah satu keperluan penting yang harus ada dalam hidup seseorang, kerana dengan ilmu, kita tidak mudah ditipu, bijak berbicara, dipandang mulia, dan membuat kehidupan seharian menjadi lebih lancar, yang mana menunjukkan kepada kita mengapa islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu hingga ke liang lahad. Tambahan pula, seringkali diterapkan dalam minda anak-anak muda, bahawa pelajaran cemerlang itu akan menjamin pekerjaan yang baik suatu hari nanti.
Namun, isu yang timbul pada hari ini, kita dapat lihat ramai orang sudah mula mempertikaikan kepentingan pelajaran dalam kehidupan seseorang individu dengan mengatakan bahawa tanpa pelajaran yang sebenar pun seseorang itu masih boleh berjaya. Memang benar apa yang dipertikaikan itu, namun ianya hanya berkesan untuk sesetengah orang sahaja dan bukan kepada semua orang. Kesan daripada itu, ramai pelajar lepasan SPM dan juga diploma mengambil keputusan untuk terus bekerja berbanding menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Ianya terbukti apabila statistik terkini yang dikeluarkan oleh menteri pendidikan, Fadhlina Sidek, menunjukkan peningkatan hampir 40 peratus pelajar tidak berminat menyambung pelajaran meningkat sejak 2020 hingga 2022.
Jadi, dalam artikel kali ini, kita akan mengupas dengan lebih lanjut tentang punca mengapa pelajar lebih cenderung untuk bekerja berbanding menyambung pelajaran, kelebihannya dan juga menentukan mana satu yang lebih baik, sambung belajar atau bekerja selepas habis SPM atau diploma.
Kita mulakan dulu dengan punca-punca yang mungkin menjadi penyebab pelajar terus bekerja dan tidak mahu menyambung pelajaran. Apabila ditanya, jawapan yang sering diberi oleh pelajar yang bekerja ini adalah kerana mereka berpendapat kehidupan masa kini terutama dalam bidang pekerjaan lebih memerlukan kemahiran berbanding ilmu atau teori yang dipelajari semasa zaman persekolahan atau di peringkat universiti. Oleh yang demikian, mereka menganggap zaman belajar adalah satu perkara yang hanya membuang masa, kerana segala ilmu yang dipelajari tidak digunakan seratus peratus dalam kehidupan bekerja. Ada benarnya juga apa yang dikatakan oleh mereka. Kemahiran diri atau kita gelar “soft skill” ini perlu ada dalam diri setiap orang kerana ianya amat penting untuk kita mengharungi bidang pekerjaan ini dengan jayanya. Selain itu, wang juga menjadi punca mengapa ramai pelajar ingin terus bekerja berbanding menyambung pelajaran. Ramai pelajar lepasan SPM mengambil keputusan untuk bekerja separuh masa sementara menunggu keputusan peperiksaan keluar, yang mana mengambil masa hampir 3 bulan. Disebabkan masa yang tidak terlalu singkat dan juga tidak terlalu panjang itu, mereka rasa selesa memegang duit yang banyak dan terus melupakan hasrat untuk belajar semula. Atau yang menjadi majoriti punca adalah kerana desakan hidup yang memaksa mereka untuk bekerja. Itu bagi pelajar lepasan SPM.
Bagi lepasan diploma pula, majoritinya tidak menyambung pelajaran kerana telah diserap dan sudah selesa dengan persekitaran tempat kerja praktikal yang ditugaskan kepada mereka sebelum menamatkan pengajian. Mungkin kerana mereka risau tidak akan mendapat pekerjaan dan juga persekitaran pekerjaan yang lebih baik jika mereka meninggalkan kerja tersebut, lebih-lebih lagi jika pekerjaan itu menawarkan gaji yang lumayan, rakan sekerja yang baik, persekitaran kerja yang positif, lebih membuatkan mereka tidak ingin melanjutkan pelajaran dan terus bekerja, di samping alasan selesa memegang dan mengurus wang dengan sendirinya. Hasrat yang pada awalnya cuma mahu bekerja sebentar sahaja, akhirnya terkubur selepas ditawarkan segala yang diinginkan.
Namun, tidak boleh kita mengatakan apa yang mereka pilih ini adalah satu perkara yang salah, kerana kelebihan, kebolehan dan juga rezeki masing-masing adalah berbeza bagi setiap individu. Jika mereka rasa selesa untuk terus bekerja tanpa perlu menyambung semula pelajaran, terpulanglah kepada mereka, kerana keputusan sebegini, tiada jawapan yang betul atau salah. Semuanya bergantung kepada individu tersebut. Bacalah mana-mana artikel atau lihatlah video tentang orang membahas tentang perkara ini, kebanyakan atau hampir semuanya mengatakan bahawa perkara ini bukanlah ada satu jawapan yang tetap, kerana tuan badan lebih mengetahui kemampuan dan keupayaan diri mereka sendiri, jadi segala keputusan bergantung kepada mereka sendiri mengikut kebolehan masing-masing. Tambahan pula, di Malaysia ini, tiada had usia yang ditetapkan untuk melanjutkan pelajaran, jadi bila-bila masa sahaja mereka ini boleh menyambung pelajaran jika mereka inginkan. Tapi tidak boleh dilupakan juga kelebihan jika seseorang itu menyambung pelajaran berbanding terus bekerja selepas tamat SPM atau diploma khususnya. Dalam usia yang masih muda, ramai bersetuju dengan anggapan bahawa itu adalah masa yang paling sesuai untuk kita menimba sebanyak mana ilmu yang boleh ditimba. Dengan alasan, pada usia seawal ini, komitmen hidup masih kurang dan minda juga masih segar untuk menerima dan memahami segala apa yang dipelajari berbanding ketika sudah mula berusia. Dengan itu, mereka akan lebih fokus dan dapat memberi tumpuan secukupnya tanpa perlu menghiraukan masalah-masalah yang lain.
Dengan menyambung pelajaran juga, sijil tamat belajar yang diperolehi itu menjadi lebih bernilai dan menjadi perhatian banyak syarikat di luar sana jika ingin mencari pekerjaan. Semakin tinggi tahap pendidikan seseorang, semakin tinggilah nilai sijil tersebut. Dalam masa yang sama, gaji atau pendapatan pekerjaan akan jadi lebih tinggi, berbanding jika terus bekerja tanpa menyambung pelajaran, atau dalam erti kata lain, ianya melibatkan jangka masa panjang. Dengan menyambung pelajaran, peluang pekerjaan akan meluas. Kita akan memiliki lebih banyak pilihan pekerjaan dan bebas memilih mana satu yang menjadi keinginan di hati, dan lebih hebat sesuatu pekerjaan itu, lebih tinggi gaji yang ditawarkan. Dengan itu, kehidupan akan menjadi lebih senang. Ianya diibaratkan seperti sebuah pelaburan jangka masa panjang yang pada akhirnya mampu memberi keuntungan yang lumayan kepada pelabur. Dengan syarat, pelaburan yang dibuat haruslah dengan usaha sepenuhnya dan bersungguh-sungguh.
Apa yang dapat disimpulkan daripada artikel ini adalah, kejayaan seseorang itu bergantung kepada usaha dan keputusan yang dibuat masing-masing. Dalam pada kita berusaha, jangan dilupakan kepada tuhan yang memberi segala apa yang diinginkan hati, Allah s.w.t. Dialah yang tidak pernah salah memberi rezeki kepada setiap hambanya. Oleh yang demikian, seperti yang dikatakan di atas, tiada jawapan yang tetap untuk isu atau masalah ini, tiada yang betul, tiada yang salah. Kedua-duanya dapat memberi manfaat dalam kehidupan individu, dengan syarat, yakin dan percaya rezeki itu tidak pernah salah alamat. Terus berdoa dan usaha sehingga apa yang dihajat tercapai.
Aliah Arif Shah adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.


