
PENAMPANG: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan kerja-kerja baik pulih dijalankan segera bagi memulihkan Jalan Penampang–Tambunan yang rosak akibat tanah runtuh, dengan keutamaan terhadap keselamatan orang awam dan kelancaran hubungan ke kawasan pedalaman.
Sekembalinya dari Kuching selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 bersama Perdana Menteri dan Premier Sarawak, Hajiji terus meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Kg Pogunon pada Sabtu.
“Kerajaan Negeri mengutamakan keselamatan rakyat. Kita mahu kerja pembaikan ini diselesaikan dengan segera supaya penduduk tidak terus terjejas,” katanya, selepas meninjau kerosakan berkenaan.
Beliau mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, syarikat konsesi dan agensi berkaitan menambah jentera serta melaksanakan kerja baik pulih secara berterusan 24 jam bagi membuka semula kedua-dua lorong secepat mungkin.
Hajiji turut diiringi Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, Ahli Dewan Undangan Negeri Kepayan, Datuk Jannie Lasimbang, serta Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun semasa lawatan itu.
“Saya berkesempatan melihat sendiri jalan yang runtuh dari cerun bukit. Kita minta JKR dan syarikat konsesi yang menyelenggara jalan ini bertindak segera.
“Mereka memberi jaminan laluan dua hala dapat disiapkan dalam tempoh satu atau dua hari,” katanya.
Buat masa ini, hanya satu lorong boleh dilalui sementara pasukan pembaikan bekerja siang dan malam. Hajiji berkata talian elektrik yang terputus akibat kejadian itu juga perlu segera dipulihkan.
Beliau telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd untuk mempercepatkan kerja pemulihan bekalan elektrik.
Jabatan Air Sabah dan syarikat konsesi Jetama turut diarah memastikan bekalan air bersih kembali normal di kawasan terjejas.
Siasatan awal mendapati tanah runtuh berpunca daripada hujan lebat selama tiga hari berturut-turut.
Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan taburan hujan puncak 23.4mm dalam masa 15 minit, serta 82.5mm dalam tempoh 24 jam pada 11 Sept, menyebabkan ketidakstabilan cerun yang membawa kepada runtuhan besar itu.
Tragedi tersebut meragut nyawa apabila sebuah rumah tertimbus. Hajiji menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, menyifatkannya sebagai bencana di luar kawalan manusia.
Kerajaan Negeri berjanji menyalurkan bantuan segera, termasuk pampasan dan sokongan membina semula rumah terjejas, dengan semua usaha penyelamatan diselaraskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sehingga tengah hari Sabtu, beberapa lokasi di sepanjang Jalan R500 Kota Kinabalu–Keningau–Tenom masih terjejas banjir dan tanah runtuh, namun kebanyakan laluan boleh dilalui dengan kawalan trafik sehala sementara kerja pembersihan giat dijalankan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan seramai 437 mangsa daripada 128 keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah setakat 8 pagi Sabtu.
Di Beaufort, seramai 154 mangsa daripada 53 keluarga berada di PPS Selagon.
Penampang mencatat 224 mangsa daripada 64 keluarga di tiga PPS iaitu Kompleks Sukan Penampang (39 orang), SK St Paul Kolopis (43 orang) dan Dewan Huguan Siou (142 orang).
Sementara itu, di Tawau, seramai 59 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di Masjid Al-Aman susulan insiden kebakaran.
Secara keseluruhan, 23 kampung terjejas akibat pelbagai bencana dengan satu kematian disahkan.





