Kerja fizikal Pakej 2 Projek PTJSD dijangka bermula suku ketiga tahun ini

LocalPolitics
16 Apr 2026 • 9:22 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerja fizikal Pakej 2 Projek PTJSD dijangka bermula suku ketiga tahun ini
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerja fizikal bagi Pakej 2 Projek Penyuraian Trafik Plaza Tol Juru–Sungai Dua (PTJSD) dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

Ia sekali gus mempercepatkan usaha mengatasi kesesakan serius di jajaran Lebuhraya Utara–Selatan di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek berimpak tinggi itu kini telah memasuki fasa pelaksanaan di tapak dengan kerja fizikal bagi Pakej 1 yang bermula sejak Oktober tahun lalu.

Menurutnya, pakej berkenaan dijangka siap lebih awal dan mula beroperasi pada penghujung tahun 2027 selaras dengan tempoh pembinaan selama 24 bulan.

“Pelaksanaan PTJSD akan diteruskan secara berfasa melibatkan Pakej 2 hingga Pakej 5 bagi melengkapkan keseluruhan jajaran dari Plaza Tol Juru ke Sungai Dua.

“Kesemua pakej ini dijangka memulakan kerja fizikal pada suku ketiga tahun ini tertakluk kepada pemuktamadan skop teknikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah, secara keseluruhan projek berkenaan disasarkan siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2030.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan komitmen kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan projek tersebut yang dilihat mampu memberi impak besar kepada kelancaran trafik di negeri ini.

"Bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar, kerajaan negeri turut mengadakan rundingan berterusan bersama semua agensi berkaitan serta pihak berkuasa tempatan bagi menangani sebarang isu berbangkit.

“Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan projek ini secara rapi agar setiap fasa pelaksanaan berjalan mengikut perancangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PTJSD merupakan inisiatif strategik bagi menangani kesesakan lalu lintas yang telah sekian lama membelenggu jajaran berkenaan yang kini merekodkan purata lebih 200,000 kenderaan sehari.

"Kesesakan di laluan utama itu turut memberi kesan kepada kawasan sekitar seperti Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan Perai serta menjejaskan kelancaran pergerakan harian dan aktiviti ekonomi setempat," katanya lagi.

Tambah beliau, sejak April 2024, pelbagai kajian termasuk analisis trafik telah dilaksanakan bagi memastikan penyelesaian yang dirangka bersifat komprehensif dan mampan.

“Melalui pelaksanaan Makmal Kajian Nilai, skop keseluruhan projek kini berada pada peringkat rundingan akhir bagi memastikan kos dimuktamadkan secara optimum serta memenuhi keperluan semua pihak,” katanya.

PTJSD sepanjang 17.3-17.4 kilometer ialah inisiatif bernilai kira-kira RM3 bilion (anggaran) untuk mengurangkan kesesakan kritikal di Seberang Perai.

Ia dijangka siap sekitar 2029 hingga 2030 yang mana, projek tersebut akan memisahkan trafik tempatan dan jarak jauh, mengurangkan masa perjalanan kepada 20 minit dan memanfaatkan 200,000 pengguna harian.