Kerja korek pasir punca ikan mati di Sungai Perak

LocalEnvironment
17 Oct 2026 • 5:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerja korek pasir punca ikan mati di Sungai Perak
Mohammad Ezanni
Image from: Kerja korek pasir punca ikan mati di Sungai Perak
Mohammad Ezanni (kiri) bersama Kok Lim ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan HASN dan Ozon Sedunia Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Angsana Mall Ipoh pada Sabtu.

IPOH – Kerja-kerja pengorekan pasir di Sungai Perak dikenal pasti menjadi punca kejadian ikan mati di sungai berkenaan berhampiran Sayong, Kuala Kangsar baru-baru ini susulan peningkatan paras kelodak di kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, hasil pemeriksaan dan persampelan mendapati paras kelodak yang tinggi dipercayai berpunca daripada aktiviti pengorekan pasir, bukannya pencemaran daripada premis kilang.

Menurutnya, JAS telah menasihatkan agensi berkaitan supaya memastikan aktiviti pengorekan pasir di sungai dilaksanakan di bahagian hilir berbanding hulu bagi mengurangkan risiko pencemaran.

“Berdasarkan sampel yang diambil, paras kelodak didapati tinggi dan keadaan itu disebabkan kerja-kerja pengorekan pasir.

“Kita sudah menasihatkan agensi berkaitan supaya lesen pengorekan pasir dikeluarkan bagi aktiviti di bahagian hilir sungai dan bukannya di hulu kerana kawasan hulu mempunyai risiko pencemaran,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) dan Ozon Sedunia Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Angsana Mall Ipoh di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohammad Ezanni berkata, hasil pemeriksaan setakat ini tidak menunjukkan petunjuk pencemaran daripada kilang sebagai punca kejadian berkenaan.

Sebelum ini, tular di media sosial video memaparkan pelbagai spesies ikan seperti tengalan, baung dan patin mati di Sungai Perak sekali gus menimbulkan kebimbangan warga maya terhadap pencemaran air yang boleh menjejaskan ekosistem serta pendapatan nelayan darat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, JAS Perak turut menjalankan pemantauan kualiti udara secara berterusan bagi mengesan perubahan bacaan susulan keadaan jerebu ketika ini.

Katanya, terdapat lima stesen pemantauan utama di Perak yang meliputi kawasan dari Tanjung Malim hingga Taiping dengan bacaan kualiti udara direkodkan setiap jam.

Menurutnya, bacaan kualiti udara boleh disemak orang ramai secara masa nyata menerusi aplikasi EQMS.

“Bacaan kualiti udara bergantung kepada keadaan cuaca. Selepas hujan, keadaan biasanya bertambah baik, tetapi ketika tengah hari bacaan boleh meningkat sehingga berada pada tahap tidak sihat.

“Bacaan pada jam 12.18 tengah hari tadi menunjukkan Seri Manjung mencatatkan 110, manakala Tanjung Malim merekodkan 141. Kedua-duanya masih di bawah paras 150,” katanya.

Beliau berkata, keadaan jerebu ketika ini turut dipengaruhi kebakaran di negara jiran, khususnya Indonesia yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berharap kebakaran di kawasan terjejas dapat dipadamkan segera bagi mengelakkan keadaan jerebu berlarutan bergantung kepada perubahan cuaca dan arah tiupan angin.

Sementara itu, Exco Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Teh Kok Lim mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka ketika keadaan jerebu masih melanda.

Beliau berkata, kerjasama masyarakat penting bagi mengelakkan pencemaran udara tempatan daripada menambahkan lagi beban terhadap kualiti udara semasa.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved