Kerja pengosongan ladang babi Kuala Langat dijangka selesai Oktober - EXCO

23 Jul 2026 • 1:58 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kerja pengosongan ladang babi Kuala Langat dijangka selesai Oktober - EXCO

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kerja pengosongan ladang babi di Kuala Langat dijangka selesai sepenuhnya pada Oktober ini selepas kira-kira 12,000 ekor babi yang masih berada di kawasan berkenaan mencapai usia matang untuk dilupuskan.

EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata sebahagian besar ternakan yang masih berada di ladang terbabit ketika ini terdiri daripada piglet (anak babi) yang belum mencapai tempoh sesuai untuk dilupuskan.

“Kerajaan Negeri sebelum ini menetapkan anak babi hanya akan dilupuskan apabila mencapai usia antara tujuh hingga lapan bulan. Justeru, kita menyasarkan menjelang Oktober nanti semua anak babi ini dapat dilupuskan dan proses pengosongan selesai sepenuhnya.

“Audit dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mendapati hanya kira-kira 12,000 ekor babi masih berada di ladang terbabit, berbanding sekitar 240,000 ekor sebelum proses pengosongan dimulakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Semakan Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Negeri Selangor 2022-2030 di Hotel De Palma Shah Alam hari ini.

Image from: Kerja pengosongan ladang babi Kuala Langat dijangka selesai Oktober - EXCO
EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim melawat pameran ketika Bengkel Semakan Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ICM) Negeri Selangor di Hotel De Palma, Shah Alam pada 23 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Izham berkata keadaan tanah dan kawasan pantai berhampiran ladang berkenaan turut menunjukkan peningkatan dari segi kebersihan susulan pelaksanaan pengosongan secara berperingkat.

Menurutnya, Kerajaan Negeri kini turut memberi perhatian terhadap usaha pemulihan kawasan terbabit termasuk menjalankan kajian inventori tanah serta mengenal pasti bentuk bantuan sesuai kepada penternak yang terjejas.

Beliau berkata perbincangan bersama Kementerian Pertanian turut diadakan bagi mendapatkan sokongan persekutuan dalam usaha pemulihan tanah serta membantu bekas penternak beralih kepada aktiviti pertanian yang bersesuaian.

“DVS telah diarahkan bersama pihak konsultan untuk menilai status kesihatan ternakan serta keadaan kebersihan tanah sepanjang proses ini berlangsung.

“Ia memadangkan mereka yang mengusahakan penternakan ini ada yang sudah hingga tiga generasi kehilangan pendapatan dan sebagainya. Negeri kena usahakan bantu mereka supaya dapat terus mencari rezeki.

“Sebelum ini, seperti yang saya sudah sebut di Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, kebajikan penternak tanggungjawab Kerajaan Negeri,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata pentadbiran negeri akan melaksanakan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang tidak mahu ada ladang penternakan babi di negeri ini.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap kebajikan penternak yang merupakan rakyat Selangor dengan membantu mereka beralih kepada sumber pendapatan lain.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved