
PELAKON, usahawan, dan personaliti popular, Puteri Sarah Liyana, dikejarkan ke wad kecemasan baru-baru ini.
Menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya, Puteri Sarah, 41, memuat naik foto yang memaparkan dirinya berada di hospital bagi memberi peringatan kepada para pengikutnya tentang kepentingan menjaga kesihatan.
Sedia maklum dengan jadual seninya yang padat, rupa-rupanya kebelakangan ini, ibu kepada dua cahaya mata itu juga sedang sibuk menguruskan tugasan belajarnya. Akibat terlalu memikirkan tanggungjawab, waktu rehat diri sendiri mula terabai.
"Sejak beberapa minggu lalu, saya sering tidur lewat hampir setiap hari. Mengimbangi masa antara kerjaya, tugasan kuliah dan macam-macam lagi. Saya fikir saya boleh bertahan," tulisnya.
Bagaimanapun, segalanya berubah apabila dia diserang batuk seminggu lalu. Menganggap ia hanyalah batuk biasa, Puteri Sarah mengakui kesilapannya kerana membiarkan sahaja gejala tersebut tanpa mendapatkan rawatan awal.
Lama-kelamaan, keadaan menjadi semakin parah terutamanya pada waktu malam sehingga menjejaskan fungsi tubuh badannya secara total. Dia menggambarkan kesakitan yang dialami itu sebagai sesuatu yang amat menyeksakan.

"Setiap malam menjadi semakin sukar. Kerongkong saya terasa seperti dicucuk dengan jarum. Saya tidak boleh tidur, tidak boleh makan, malah akhirnya mahu minum air pun tidak boleh," kongsinya lagi.
Akibat terlalu penat, selebriti itu hanya dapat melelapkan mata pada jam 6 pagi.
Namun, sejurus terjaga, ibunya terpaksa mengambil mengejarkan dia ke hospital.
"Apabila bangun, saya berasa terlalu lemah. Ibu bawa saya ke hospital dan doktor mendapati banyak ulser dan luka dalam tekak.
"Kadang-kadang tubuh kita berbisik sebelum ia mula menjerit. Jika anda batuk, demam, sentiasa letih atau merasakan ada sesuatu yang tidak kena, jangan ambil mudah.
"Berehatlah. Makan dengan baik. Minum air secukupnya. Dapatkan tidur yang mencukupi. Segala-galanya boleh menunggu tetapi kesihatan anda tidak boleh," titip Sarah.
Pada masa sama, pelakon drama Andai Itu Takdirnya dan Polis Peronda tersebut turut menitipkan ucapan terima kasih kepada Dr Masri serta seluruh petugas kesihatan yang merawatnya dengan penuh profesional.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata rakan artis dan netizen membanjiri hantaran tersebut dengan doa agar Puteri Sarah kembali sembuh.
Sekadar info, pelakon ini sedang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan.
SinarPlus mendoakan agar kesihatan Puteri Sarah semakin baik. Betul katanya, kerja-kerja juga, tapi kesihatan jangan buat main!
Sumber: Instagram @puterisarahliyana

