
TAWAU: Jaringan kerjasama antara institusi kepolisan Malaysia dan Indonesia di kawasan sempadan dua negara dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan dadah tidak pernah menurun, sebaliknya sentiasa ditingkatkan.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata usaha itu selaras komitmen pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeratkan hubungan dengan pengurusan kepolisan negara jiran.
“Kita juga sudah mengadakan dua kali pertemuan antara Pesuruhjaya Polis Sabah dengan Kepala Kepolisian Daerah (Kapolda) Kalimantan Utara,” katanya.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Jasmin berkata pihaknya turut menjalin hubungan erat dengan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau, khususnya pertukaran maklumat berkaitan kes-kes tangkapan dan rampasan dadah.
Menurutnya, kerjasama antara pihak kepolisan kedua-dua negara yang diwujudkan juga berjalan baik termasuk melibatkan siasatan terhadap suspek penjenayah dan kegiatan mencurigakan.
Mengulas penyeludupan dadah ke negara jiran yang sedikit sebanyak menjejaskan imej negara pula, beliau berkata semua agensi keselamatan, termasuk PDRM sentiasa komited mengambil tindakan pengkuatkuasaan undang-undang.
“Ini termasuk situasi yang berlaku di hadapan mata kita, melibatkan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia.
“Kejayaan kes rampasan dan tangkapan melibatkan kegiatan dadah yang dibuat di Tawau sebenarnya banyak, cuma tidak semuanya didedahkan kepada media dan masyarakat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata tidak semua operasi dan tangkapan atau rampasan yang dilakukan dapat dilaporkan secara terus kepada masyarakat kerana perlu melalui proses siasatan terlebih dahulu.
Beliau optimis indeks jenayah yang merekodkan penurunan lebih 50 peratus berbanding tahun lepas menunjukkan indikator penting terhadap tahap penguatkuasaan undang-undang di Tawau.
“Dalam konteks penguatkuasaan ini, sokongan masyarakat amat diperlukan untuk menjaga ketenteraman dan kesejahteraan bersama kerana pihak keselamatan tidak boleh bertindak sendiri.
“Jadi kita menyeru semua anggota masyarakat membantu pihak keselamatan dalam siasatan dan operasi terutamanya berkongsi maklumat jika mempunyai bukti yang kukuh,” katanya.
Jasmin juga berharap masyarakat tidak cepat menuding jari terhadap pasukan keselamatan jika berlaku aktiviti jenayah, sebaliknya berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ pihak berwajib.
Tambahnya, kerajaan kini menyediakan pelbagai kemudahan dan akses penyaluran maklumat secara rahsia tanpa didedahkan identiti, seperti aplikasi Volunteer Smartphone Patrol.
“Merujuk situasi di Tawau, jika ada yang dikesan membuat hal termasuk dalam pengedaran dadah, kita pasti akan mengambil tindakan tidak kira individu atau kitaran yang terlibat,” katanya.

