Kerjasama dengan Rusia, Turkmenistan perkukuh jaminan bekalan tenaga Malaysia - PM

LocalBusiness & Finance
20 Jun 2026 • 3:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kerjasama dengan Rusia, Turkmenistan perkukuh jaminan bekalan tenaga Malaysia - PM

KEPALA BATAS, 20 JUN: Kerjasama strategik dengan Rusia dan Turkmenistan bakal memperkukuh jaminan bekalan tenaga negara untuk tempoh yang lama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Presiden Rusia Vladimir Putin telah memberikan jaminan terhadap perjanjian jangka panjang bagi pembekalan minyak, gas dan diesel kepada Malaysia untuk tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun.

“Perkara itu disampaikan Presiden Rusia semasa perbincangan di Kazan ketika lawatan saya ke negara berkenaan baru-baru ini. Ia mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh serta persahabatan antara kedua-dua negara,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Setia Fontaines Industrial Park, di sini, hari ini.

Anwar berkata lawatan rasmi ke Turkmenistan baru-baru ini pula membawa perkembangan lebih besar apabila negara Asia Tengah itu meluluskan akses baharu kepada Malaysia dalam sektor minyak dan gas.

Beliau berkata perkembangan itu membuka peluang kepada Malaysia untuk memperoleh akses kepada antara simpanan gas terbesar di dunia, sekali gus menjamin keperluan tenaga negara untuk tempoh jangka panjang.

“Malaysia memperoleh akses kepada simpanan gas yang antara terbesar di dunia. Maknanya keperluan kita terjamin, Insya-Allah, untuk puluhan tahun.

“Kita juga boleh menggunakannya untuk meningkatkan eksport ke negara rakan terutama China, Jepun dan Korea yang mempunyai keperluan tenaga tinggi,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata persetujuan yang dicapai itu merupakan hasil hubungan baik serta rundingan antara Malaysia dengan Turkmenistan sejak lawatan Presiden Serdar Berdimuhamedov ke Malaysia pada Disember 2024.

Dalam pada itu, Anwar berkata hubungan antarabangsa perlu dimanfaatkan untuk melindungi kepentingan negara serta menjamin bekalan tenaga, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi rakyat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved