‘Kerjasama Fatah, Hamas legasi Ismail bagi tamatkan konflik Israel ’

Politics
1 Aug 2024 • 6:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Program Interviu bertajuk 'Hamas selepas Haniyeh' menampilkan Pemerhati Politik Antarabangsa, Mohd Nasaie Ismail (kanan) dan dihoskan oleh Haizir Othman yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM - Kerjasama antara Fatah dan Hamas yang baru sahaja dilakukan baru-baru ini merupakan legasi yang ditinggalkan oleh Ketua Kumpulan Hamas, Ismail Haniyeh dalam tempoh 76 tahun bagi menamatkan konflik bersama Israel.

Pemerhati Politik Antarabangsa, Mohd Nasaie Ismail berkata, perdamaian yang berlaku antara kedua-dua parti politik terbesar itu disebabkan oleh sikap damai Ismail dalam memastikan semua gerakan bersatu di bawah satu pimpinan.

“Perdamaian antara Hamas dan Fatah ialah antara legasi terbesar yang ditinggalkan oleh Ismail Haniyeh kerana dalam sejarah 76 tahun penjajahan Israel terhadap bumi Palestin tidak pernah semua gerakan berada di bawah satu payung.

“Watak damai, dengan senyuman dan tingkah laku beliau dalam melihat sesuatu benda yang lebih besar merupakan sikap beliau dan bukan untuk menjadi hero semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Interviu bertajuk ‘Hamas selepas Haniyeh’ yang dihoskan oleh Haizir Othman di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.

Mengulas lanjut, menurut Mohd Nasaie, penyatuan antara kedua-dua kumpulan itu mampu mewujudkan tekanan kepada rejim Israel selepas melakukan beberapa siri pembunuhan pemimpin Palestin.

Ujarnya, walaupun Ismail ialah generasi kedua yang lahir pasca penjajahan Israel, namun beliau telah membawa pendekatan berbeza sebagai strategi untuk membebaskan bumi Palestin.

“Ramai yang beranggapan pemergian pemimpin Hamas sebelum ini akan membuatkan gerakan pembebasan ini menguncup, tetapi kemunculan Ismail telah membawa pendekatan yang lain.

“Ini yang Israel kena berjaga-jaga. Apabila matinya seorang tokoh itu bukan semestinya mati dalam perjuangan, tetapi akan muncul generasi berikutnya yang akan membawa corak perjuangan berbeza di atas matlamat sama.

“Perkara ini yang pastinya akan menyusahkan mereka dan memberi kesan buruk,” katanya.