SHAH ALAM - Kebersamaan kerajaan dan rakyat merupakan kunci kejayaan negara dalam menghadapi cabaran global seperti krisis tenaga yang sedang berlaku susulan konflik di Asia Barat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kekuatan negara terletak pada disiplin, kerjasama dan keyakinan bersama.
Menurutnya, menerusi usaha bersama, Malaysia akan terus kekal stabil dan berdaya tahan.
"Krisis ini memerlukan usaha seluruh negara. Dalam masa sama, kerajaan akan terus memastikan bekalan terjamin, selain bekerjasama rapat dengan industri dan membendung tekanan kenaikan harga sedaya upaya.
"Namun, kejayaan kita dalam mengharungi krisis ini bergantung kepada peranan semua pihak. Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat dan komuniti perniagaan untuk bersama kerajaan dalam menggunakan tenaga secara berhemah, mengelakkan pembaziran dan memastikan setiap penggunaan adalah perlu dan efisien," katanya dalam Taklimat Krisis Tenaga Global pada Khamis.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan atau berkongsi maklumat yang tidak sahih yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, negara masih berada dalam keadaan terkawal, bersedia dan mengambil langkah proaktif untuk mengurus kesan krisis tenaga global yang sedang berlaku.
"Namun kita harus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya krisis ini berlarutan," katanya.
Menurutnya, antara keutamaan kerajaan adalah memastikan bekalan petroleum negara kekal mencukupi dan stabil, selain menyediakan pelan kontingensi termasuk mendapatkan sumber alternatif sekiranya berlaku gangguan berpanjangan.
"Oleh sebab itu, kerajaan mengadakan sesi libat urus secara konsisten dengan pemegang taruh dari pelbagai sektor.
"Ini membolehkan kerajaan mendapatkan maklum balas secara masa nyata serta menyelaras tindakan dengan pantas bagi memastikan kestabilan bekalan dan pasaran kekal terpelihara," ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan memberi keutamaan kepada usaha membendung kenaikan harga dan memantau kesan terhadap kos sara hidup rakyat.
"Bekalan makanan asas kekal mencukupi, pemantauan harga dilaksanakan setiap hari di seluruh negara dan tindakan tegas diambil terhadap kenaikan harga yang tidak munasabah.
"Pendekatan kerajaan adalah jelas, iaitu melindungi rakyat tanpa menjejaskan kestabilan jangka panjang ekonomi negara," katanya.

