
KUALA LUMPUR 22 Dis – MBSB Research mengekalkan penarafan neutral ke atas Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dengan harga sasaran tidak berubah pada RM20.23 susulan langkah kumpulan itu memeterai kerjasama strategik dengan Mah Sing Group Bhd bagi membangunkan taman perindustrian berskala besar di Kulai, Johor.
Firma penyelidikan itu berpandangan kerjasama tersebut adalah saling melengkapi dan berpotensi mengukuhkan perniagaan industri KLK namun kesan kewangan jangka pendeknya bersifat sekali sahaja dan tidak mencukupi untuk mendorong peningkatan penarafan saham.
Di bawah perjanjian berkenaan, KLK menerusi Aura Muhibah Sdn Bhd akan membentuk usaha sama dengan Mah Sing untuk membangunkan kira-kira 419 ekar tanah di Kulai menjadi taman perindustrian bersepadu dikenali sebagai M Industrial Development.
Mah Sing akan memegang 60% kepentingan dalam syarikat usaha sama itu manakala baki 40% dimiliki KLK.
Ia adalah fasa kedua penglibatan KLK dalam pembangunan tanah industri, sejajar dengan potensi Zon Khas Ekonomi Johor–Singapura (JS-SEZ).
MBSB Research berkata, kerjasama itu memanfaatkan kekuatan masing-masing, dengan KLK menyumbang bank tanah yang besar manakala Mah Sing menawarkan kepakaran pembangunan industri serta jenama yang kukuh khususnya di Johor.
“Pada masa sama, syarikat usaha sama tersebut telah menandatangani perjanjian jual beli dengan KLK bagi pengambilalihan keseluruhan tanah berkenaan pada nilai tunai RM273.9 juta, bersamaan kira-kira RM15 bagi setiap kaki persegi.
“Walaupun harga itu mewakili diskaun sekitar 25% berbanding pelupusan tanah industri oleh pemaju lain dalam JS-SEZ, kami berpandangan penilaian tersebut adalah munasabah mengambil kira skala tanah dan lokasi yang agak jauh dari lebuh raya utama,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Mah Sing, KLK Land bekerjasama lancar MS Industrial Park @ Kulai dengan GDV RM2.26 bilion
Firma itu menambah, tapak Kulai mempunyai akses utama melalui laluan Kulai–Kota Tinggi berbeza dengan kawasan industri yang lebih hampir dengan Lebuhraya Utara–Selatan, namun masih menawarkan potensi peningkatan nilai selari dengan pembangunan infrastruktur dan kemajuan zon ekonomi khas tersebut.
Berdasarkan anggaran awal, MBSB Research menjangkakan KLK berpotensi merekodkan keuntungan pelupusan bersih sekurang-kurangnya RM131.5 juta selepas mengambil kira kos berkaitan pelupusan, cukai keuntungan harta tanah serta suntikan modal ke dalam syarikat usaha sama.
Keuntungan sekali sahaja itu bersamaan kira-kira 12.2 sen sesaham dan berpotensi digunakan bagi meningkatkan nilai pemegang saham sama ada melalui pembayaran dividen khas atau pelaburan semula ke dalam ladang sedia ada.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menegaskan bahawa sumbangan tersebut tidak mengubah unjuran pendapatan teras KLK, memandangkan pembangunan taman perindustrian berkenaan dijangka memberi kesan jangka sederhana hingga panjang.
Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan unjuran pendapatan dan sasaran harga berdasarkan anggaran pendapatan sesaham tahun kewangan 2026 sebanyak 109.4 sen, yang dinilai pada nisbah harga kepada pendapatan 18.5 kali, hampir kepada purata sejarah lima tahun kumpulan.
Dari sudut pulangan, saham KLK dijangka menawarkan potensi kenaikan harga yang terhad sekitar 1.2%, dengan hasil dividen dianggarkan sekitar 3.1%, menjadikan jumlah pulangan sekitar 4.3%.
Firma itu turut menyifatkan projek M Industrial Development, yang dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar RM2.26 bilion, sebagai langkah penting dalam membuka nilai bank tanah KLK di Mukim Kulai.
Secara keseluruhan, MBSB Research melihat langkah menukar aset tanah dan penglibatan lebih aktif KLK dalam pembangunan industri sebagai positif dari segi strategi, namun mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap prospek jangka terdekat saham kumpulan itu. - DagangNews.com


