Kerjasama Perdagangan M’sia-China Perlu Diperluas, Buka Peluang Baharu Dalam Pelbagai Sektor - PM

LocalBusiness & Finance
2 Sep 2025 • 8:43 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri ketika menghadiri Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia–China di Beijing hari ini - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Terdapat keperluan untuk memperkukuh hubungan Malaysia–China dengan memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perluasan kerjasama kritikal bagi membuka peluang baharu dalam sektor semikonduktor, nadir bumi, ekonomi biru, pendidikan, penyelidikan dan sebagainya.

Menurut beliau, kekuatan Malaysia adalah kestabilan politik dan dasar ekonomi yang jelas, daripada Strategi Semikonduktor Nasional, Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan, hinggalah kepada agenda peralihan tenaga termasuk ASEAN Power Grid.

“Di bawah inisiatif Belt and Road, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memberi makna tersendiri kerana ia membawa pembangunan ke wilayah luar bandar dan pedalaman. 

“Insya-Allah, kita akan membincangkan kemungkinan melanjutkan ECRL sehingga ke sempadan Thailand,” katanya. 

image is not available

Perdana Menteri menyatakan demikian selepas menghadiri Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia–China di Beijing petang tadi.

Acara itu yang disertai 120 syarikat dan konglomerat besar China, mencerminkan sokongan serta keyakinan mendalam terhadap hubungan erat kedua-dua negara.

Jelas Anwar, China telah membuka banyak peluang di Malaysia, daripada pertanian hingga semikonduktor, pusat data, AI dan telekomunikasi. 

Atas dasar itu katanya, Malaysia kini muncul sebagai hab tenaga dan semikonduktor rantau ini, dengan banyak syarikat antarabangsa, termasuk dari China, menjadikan negara kita sebagai pusat operasi dan ibu pejabat serantau.

“Saya juga sempat menyentuh mengenai ahli perniagaan Malaysia, (Tan Sri) Robert Kuok. Pada saat ramai pelabur asing menarik diri dari China pada 1989, beliau tetap teguh kerana percaya pada masa depan China dan nilai persahabatan sejati. 

“Semangat ini wajar menjadi pedoman bahawa keyakinan dan keikhlasan adalah asas dalam membina kepercayaan dan kerjasama,” katanya.

image is not available

Terdahulu, Perdana Menteri sempat mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi syarikat JD.com, pemain utama dalam industri e-dagang dan logistik.

Katanya, JD.com menyatakan hasrat untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia, khususnya dalam bidang logistik. 

“Saya menyambut baik hasrat ini, mengambil kira kedudukan strategik Malaysia yang berpotensi muncul sebagai hab logistik serantau, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan. 

“Pada masa sama, JD.com juga berhasrat membeli lebih banyak produk Malaysia untuk dipasarkan di China,” katanya. 

Anwar memberitahu, beliau turut bertemu dengan wakil China Semiconductor Industry Association (CSIA), badan induk yang menaungi lebih 1,400 syarikat semikonduktor China. 

image is not available

Beliau menerusi pertemuan tersebut katanya, menegaskan iltizam Malaysia untuk menjadi pemain utama semikonduktor global, seperti yang digariskan dalam Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

“Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Kerajaan MADANI akan terus menarik pelaburan berkualiti, meneroka peluang baharu dan membangunkan sektor strategik demi kemakmuran rakyat dan masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” katanya. - Getaran, 2 September 2025