Kerjasama Perkeso-Neo buka ruang kongsi ilmu dalam aspek perlindungan sosial: Steven Sim

LocalPolitics
13 Jun 2025 • 5:29 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Kerjasama strategik antara Malaysia dan Belgium membuka ruang baharu untuk perkongsian pengetahuan, di samping berpotensi mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, khususnya dalam aspek perkhidmatan pekerjaan dan perlindungan keselamatan sosial.

Justeru Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, bagi terus memperkukuhkan sistem perlindungan sosial dan perkhidmatan pekerjaan, Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pejabat Kebangsaan Pekerjaan Belgium (NEO).

“Kolaborasi Perkeso dan NEO menandakan komitmen Kesuma (Kementerian Sumber Manusia) untuk menerapkan amalan terbaik global yang juga dijangka mampu memacu inovasi dan memperkukuh keupayaan Malaysia dalam menghadapi cabaran pasaran kerja yang sentiasa berubah.

“Jika dibandingkan dengan Belgium, sistem keselamatan sosial di Malaysia masih berkembang dan beberapa aspek boleh diperkukuh, terutama dalam skim perlindungan keselamatan insurans pekerjaan dan lain–lain aspek termasuk penguatkuasaan, liputan dan integrasi yang melibatkan kedua-dua sektor pekerjaan formal dan tidak formal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perkeso dan NEO di Brussels, semalam.

Pertukaran MoU berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) Perkeso, Edmund Cheong Peck Huang dan Ketua Pegawai Eksekutif NEO, Dr. Jean Marc Vandenbergh, sambil disaksikan oleh Steven Sim, Duta Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah, Datuk' Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak bersama Ketua Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso, Gayathri Vadivel.

Melalui kolaborasi ini, Perkeso berpeluang meneroka transformasi digital, strategi dan pembangunan dilaksanakan NEO, selain mendalami usaha membanteras penipuan rentas sempadan di peringkat global.

Mengulas lanjut, Sim menyifatkan Belgium mempunyai sistem perlindungan sosial yang kukuh dengan faedah pengangguran dan program latihan semula yang berkesan, di samping terkenal dengan program latihan vokasional yang unggul serta kepakaran dalam sektor teknologi tinggi dan inovasi.

“Kerjasama ini turut merangkumi sektor teknologi dan inovasi, yang berpotensi memperkukuh dasar pekerjaan dan perlindungan sosial untuk menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya. - 13 Jun, 2025