Kerjasama PETRONAS - ADNOC Cerminan Untuk Hubungan Antarabangsa Lebih Jitu - PM

Politics
6 Dec 2022 • 5:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Al-Sultan Abdullah telah berkenan berangkat menyaksikan Majlis Pemeteraian Perjanjian antara PETRONAS Abu Dhabi Sdn Bhd dan ADNOC di Abu Dhabi. - Gambar dari Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Kerjasama yang termeterai antara PETRONAS dan Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi (ADNOC) ialah cerminan untuk Malaysia membina hubungan antarabangsa yang lebih jitu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia juga adalah peluang bagi jalinan kerjasama strategik dengan pelbagai negara, tatkala dunia sedang dalam pemulihan pasca COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi global.

“Saya menyambut baik perjanjian bersejarah antara PETRONAS dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) untuk meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 di Abu Dhabi.

“Saya menjunjung kasih atas peranan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menjadi tenaga pendorong utama kepada kejayaan usaha ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, beliau menaruh sepenuh keyakinan bahawa syarikat serta bakat tempatan mampu menerajui serta meneroka idea dan peluang untuk bersaing di peringkat global.

image is not available
Tengku Zafrul (lima dari kiri) hadir pada perjanjian bersejarah antara PETRONAS dan ADNOC untuk meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 di Abu Dhabi.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi hantaran di Instagram berkata, perjanjian tersebut antara lain membuktikan keupayaan syarikat tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, ia juga mencerminkan hubungan rapat dua hala perdagangan Malaysia-Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan meningkatkan lagi silaturahim kedua-dua negara. 

“Alhamdulillah, semalam saya telah menyaksikan Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd & ADNOC memeterai perjanjian yang bersejarah bagi Malaysia dan UAE menerusi kerjasama meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1, meliputi kawasan konsesi 2,000km persegi di wilayah Al Dhafra,” katanya. - Getaran, 6 Disember 2022