Kerjasama PN-GTA: Pemuda Pas tiada masalah asalkan bukan PH

Politics
20 Oct 2022 • 2:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Fadhli Shaari

SHAH ALAM - Pemuda Pas terbuka menerima sebarang keputusan kerjasama rentas gabungan sekiranya berlaku antara Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selagi tiada penglibatan Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, bagaimanapun perkara itu terserah kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan.

"Kerjasama tu melibatkan soal rentas parti bukan setakat rentas parti bahkan rentas gabungan... kena rujuk kepada pimpinan tertinggi yang boleh muktamadkan keputusan.

"Pemuda Pas tak ada masalah, kita serahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan asalkan bukan gabungan yang mengandungi parti-parti komponen daripada PH.

"Sebab bagi kita yang kita nak halang ialah PH daripada berkuasa. Jadi kita hanya bersikap tunggu dan lihat sajalah apa yang akan diputuskan atau jika ada perundingan selepas ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kemungkinan berlakunya kerjasama GTA-PN susulan kenyataan Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa GTA kini sedang menilai kemungkinan mempertimbangkan kerjasama dengan PN dalam PRU15.

Ditanya adakah GTA mampu memberi nilai tambah kepada PN dalam PRU15 nanti, Ahmad Fadhli enggan mengulas lanjut.

"Tak boleh komen sebab melibatkan jangkaan yang belum berlaku," katanya.