
LAHAD DATU: Jalinan kerjasama antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kepimpinan masyarakat setempat menjadi platform strategik universiti memperluas akses ilmu.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS Profesor Dr Jumat Sulaiman berkata UMS sentiasa komited dalam meningkatkan capaian dan membangun potensi pendidikan masyarakat.
Katanya program seperti Program Khidmat Masyarakat Berteraskan Penyelidikan 2025 yang dianjurkan bersama kepimpinan masyarakat setempat diketuai Datuk Mizma Appehdullah membuktikan komitmen UMS dalam menjadikan pendidikan sebagai agenda kemerdekaan sebenar rakyat khususnya di Sabah.
“Kita membawa tujuan yang sama iaitu memerdekakan pendidikan di mana saling berganding bahu untuk memastikan ilmu dan peluang pendidikan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Program yang memasuki edisi ketiga di kawasan Silam ini juga memperlihatkan kerjasama erat antara institusi pendidikan dan kepimpinan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau usaha seumpama itu bukan sahaja menyemarakkan budaya ilmu tetapi turut memberi peluang kepada masyarakat termasuk luar bandar merasai manfaat hasil penyelidikan universiti secara langsung.
Beliau yang mewakili Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata UMS akan terus mengamalkan pendekatan berasaskan penyelidikan lapangan serta libatsama komuniti bagi memperkukuh jaringan kerjasama dengan masyarakat luar bandar.
Beliau turut berharap agar program sama terus mendapat sokongan bagi memastikan visi UMS menjadikan pendidikan sebagai wahana kemajuan masyarakat dapat diteruskan secara berkesan.





