Kerjaya bidang optometri titik tolak kejayaan Nurul Dhiya

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2026 • 8:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerjaya bidang optometri titik tolak kejayaan Nurul Dhiya

IPOH: Seorang wanita berumur 37 tahun tidak menyangka pilihannya menceburi bidang optometri menjadi titik tolak kejayaannya dalam kehidupan sebagai seorang usahawan profesional berpendapatan tinggi.

Menurut Nurul Dhiya Dzahar yang merupakan anak negeri kelahiran Gunung Rapat di Ipoh, dia tidak menoleh ke belakang untuk memulakan perniagaan Optometris Dhiya (Dhiya Optometrist) sejak 16 September 2015 selepas tamat pengajian peringkat ijazah berkaitan bidang tersebut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor.

“Saya mengutip pengalaman bekerja selama 10 bulan di sekitar Selangor sebelum memasang tekad memulakan perniagaan sendiri di Meru. Sebab utama ialah ingin mencabar diri selain tidak ramai orang Melayu yang membuka bisnes ini kerana selain kepakaran, modal awal untuk membeli peralatan agak tinggi sebelum mencapai pulangan pelaburan (ROI).

“Ayah dan ibu yang kini sebagai pesara kerajaan merupakan pendorong kerana memberikan bantuan modal awal sebanyak RM100,000 bagi memulakan perniagaan ini. Jelas mereka, Perak terutamanya Ipoh merupakan lokasi strategik kerana kepelbagaian kaum seperti Melayu, Cina dan India selain merupakan bandar raya dengan kapasiti penduduk yang tinggi,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Image from: Kerjaya bidang optometri titik tolak kejayaan Nurul Dhiya

Katanya, corak dan model perniagaan mengenai optometri bukan sekadar barang kehendak tetapi keperluan kerana ada golongan kanak-kanak sehingga dewasa memerlukan pemakaian spek mata atau kanta lekap untuk memudahkan penglihatan mereka menjalani kehidupan seharian.

“Setiap orang ada masalahnya tersendiri seperti rabun dekat, jauh dan warna. Sebaiknya menjalani pemeriksaan secara berkala terutamanya warga emas yang berpenyakit seperti diabetis dan kolestrol tinggi,” katanya.

Jelasnya, tumpuan kepada telefon, gajet elektronik, telefon pintar dan komputer riba dalam tempoh yang lama tanpa rehat mampu menjejaskan deria mata.

“Sebaiknya penjagaan mata bermula sejak kecil kerana ia merupakan anugerah yang tidak ternilai bagi manusia,” katanya.

Nurul Dhiya bersyukur kerana Program Bantuan Pinjaman Tabung Usahawan (tanpa faedah) Yayasan Perak sebanyak dua kali berjumlah RM120,000 membolehkan perniagaannya terus mapan, berkesinambungan selain memastikan kos operasi dan modal pusingan sentiasa stabil.

“Pinjaman ini membolehkan saya menampung perbelanjaan semasa selain digunakan untuk promosi dan pemasaran dalam media sosial terutamanya Facebook dan TikTok. Malah, pegawai Yayasan Perak ada hadir di premis perniagaan untuk memberikan konsultansi serta dorongan secara berterusan.

“Syukur kerana saya mampu menjana pendapatan kasar mencecah lima angka setiap bulan selain mampu membeli aset tetap sebagai persiapan kewangan masa depan,” katanya.

Program Bantuan Pinjaman Tabung Usahawan (tanpa faedah) Yayasan Perak bertujuan meningkatkan pendapatan yang lestari dalam memangkin pembangunan ekonomi negeri berprestasi tinggi iaitu Perak.

Selain itu, ia bertujuan melahirkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan usahawan muda yang berkualiti supaya dapat mengembangkan perniagaan sedia ada secara efektif dan sistematik.

Perkembangan itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 yang menepati flagship kelima pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat – 1 Keluarga 1 Usahawan yang antara penerajunya ialah Yayasan Perak hasil cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan dan kondusif. – UTUSAN

The post Kerjaya bidang optometri titik tolak kejayaan Nurul Dhiya appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved