Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM98.1 juta bagi kerja-kerja pembinaan terkini Fera & Sena di Pulau Andaman

LocalBusiness & Finance
15 Apr 2025 • 2:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM98.1 juta bagi kerja-kerja pembinaan terkini Fera & Sena di Pulau Andaman

image is not available

15/04/2025 - 14:44

Oleh 'AINA SYAZWINA

Kuala Lumpur 15 April – Kerjaya Prospek Group Bhd terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pembinaan kediaman mewah selepas memperoleh kontrak baharu bernilai RM98.1 juta daripada anak syarikat Eastern & Oriental Bhd (E&O), Persada Mentari Sdn. Bhd.

Kontrak tersebut melibatkan pembinaan Fasa 3 dan 4 bagi pembangunan kediaman bertanah Fera & Senna di Pulau Andaman, Pulau Pinang.

Fasa terbaharu itu melibatkan pembinaan 76 unit rumah bertanah, termasuk rumah teres tiga tingkat, dan rumah berkembar. Kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 22 April 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Kontrak itu dimeterai secara urus niaga biasa antara pihak berkaitan, dengan beberapa pengarah dan pemegang saham utama Kerjaya Prospek mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam E&O.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata, mereka amat berbesar hati dengan perkembangan berterusan projek Fera & Senna.

"Fasa 1 dan 2 telah mencatatkan permintaan tinggi daripada pembeli kerana lokasinya yang strategik, reka bentuk seni bina yang elegan, dan persekitaran kediaman berketumpatan rendah.

"Kami turut berbangga untuk mengetuai pembinaan Fasa 3 dan 4 yang merupakan sebahagian daripada pelan induk pembangunan Pulau Andaman oleh E&O iaitu sebuah pembangunan bersepadu yang dijangka menjadi antara bandar pulau berkonsep urban paling dikehendaki di Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan.

Kontrak terbaharu itu menjadikan jumlah kontrak baharu yang diperoleh Kerjaya bagi tahun ini mencecah RM708.3 juta setakat ini, manakala nilai buku pesanan belum direalisasikan kini pula melonjak kepada RM4.4 bilion.

Kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif terhadap keterlihatan pendapatan syarikat bagi tempoh tiga tahun kewangan akan datang.- DagangNews.com

standard