Kerjaya Prospek teroka segmen pusat data, penganalisis yakin buka peluang pasaran baharu

LocalBusiness & Finance
24 Jul 2026 • 9:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerjaya Prospek teroka segmen pusat data, penganalisis yakin buka peluang pasaran baharu Image from: Kerjaya Prospek teroka segmen pusat data, penganalisis yakin buka peluang pasaran baharu amree24/07/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 JulaiKerjaya Prospek Group Berhad mengukuhkan kedudukan dalam sektor pembinaan bernilai tinggi menerusi subkontrak mekanikal dan elektrikal (M&E) berkaitan pusat data (DC).


Penganalisis melihat kejayaan itu membuka peluang baharu dalam pasaran berkembang pesat, meskipun syarikat berdepan cabaran kelembapan segmen hartanah, tekanan kos pembinaan dan persaingan sengit.


Antaranya RHB Research yang mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.19 sesaham, yang mewakili potensi kenaikan sebanyak 32% selain jangkaan hasil dividen sekitar 5% bagi FY27.

 

"Pemerolehan tender M&E voltan rendah asas untuk pembinaan stesen pendaratan pengguna 275kV bagi sebuah DC di Lembah Klang merupakan projek berkaitan DC pertama Kerjaya Prospek," jelas firma itu.

 

Menurutnya, margin keuntungan bersih bagi projek itu dijangka sekitar 7% berikutan kebergantungan tinggi kepada subkontraktor, namun ia langkah strategik memperkukuh kehadiran dalam segmen M&E.

 

RHB Research turut menilai pelaburan 9% dalam ES Sunlogy sebagai pelengkap strategi kerana ada pengalaman projek utiliti elektrik DC, sekali gus berpotensi membuka banyak lagi peluang kontrak.

 

Kerjaya Prospek_DagangNews2026

 

Setakat ini, Kerjaya Prospek memperoleh projek baharu bernilai RM2.15 bilion bagi tahun semasa, hampir mencapai unjuran firma itu, dengan beberapa tender utama masih menunggu keputusan akhir.

 

"Pada masa sama kami turut melihat penyertaan aktif kumpulan ini dalam projek mega transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang sebagai pemangkin utama pertumbuhan seterusnya," tambah firma berkenaan.

 

Sementara itu Public Investment Bank pula mengekalkan saranan 'outperform' dan TP RM3.30 sesaham kerana subkontrak DC tersebut mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam segmen pembinaan baharu.

 

Katanya, tender tersebut meningkatkan nilai buku terkumpul sebanyak 1.1% kepada RM4.8 bilion, dan menyediakan keterlihatan hasil tiga tahun akan datang serta mengukuhkan reputasi Kerjaya Prospek.

 

Firma itu menganggarkan projek itu menjana RM3.2 juta kepada keuntungan FY26 berdasarkan margin sederhana, namun mengekalkan unjuran pendapatan kerana andaian kontrak ini sudah diambil kira.

 

"Kami berpandangan penyertaan dalam segmen M&E berkaitan DC merupakan pemangkin pertumbuhan baharu mampu memperluaskan sumber pendapatan kumpulan untuk jangka panjang," kata PublicInvest.

 

Bagaimanapun ia mengingatkan Kerjaya Prospek masih berdepan risiko kelembapan sektor hartanah, tekanan kos operasi serta persaingan untuk projek-projek mega pada masa hadapan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved