Keropok diikat setinggi 4 kaki, digaul racun tikus & mungkin dicampak monyet, lelaki direman 6 hari

11 Jul 2024 • 3:10 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

INSIDEN dua kanak-kanak termakan keropok mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, baru-baru ini begitu menyayat hati.

Mengorbankan satu nyawa manakala seorang lagi kritikal, pekebun dikenali sebagai Am, 35 memaklumkan plastik keropok berkenaan telah diikat pada ketinggian empat kaki (1.2 meter) menggunakan tali tangsi dan jauh dari laluan tepi jalan.

Katanya, kedudukan keropok yang diikat pada pagar dawai besi melebihi ketinggian kanak-kanak diyakini tidak mampu dicapai oleh mangsa yang berusia dua dan tiga tahun.

Namun, keropok yang telah dicampur racun tikus besar itu kemungkinan telah dicampak oleh monyet sebelum diambil dua kanak-kanak itu.

image is not available

Dakwa Am, beliau dimaklumkan oleh adik lelakinya berusia 34 tahun bahawa bungkusan keropok bercampur racun itu juga tidak digantung pada pagar berdekatan jalan, sebaliknya diletakkan di kawasan laluan monyet berhampiran hutan.

"Sukar untuk budak tarik atau capai melainkan ada orang dewasa yang ambil atau ditarik monyet dan jatuh di tepi jalan.

image is not available

Am turut mendakwa lima bungkusan keropok yang digantung di kawasan kebun, tiga daripadanya sudah dilarikan monyet, satu hilang dan satu lagi masih terikat di pagar.

Pemuda itu juga memaklumkan, telah membantu mangsa mendapatkan rawatan sebaik sahaja mengetahui kejadian berkenaan. Dalam keadaan cemas, Am memandu kereta membawa kedua-dua mangsa dan ibu mereka bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

"Saya tengah tolong emak kupas kelapa sebelum ibu mangsa berlari sambil mendukung kedua-dua anak bagi mendapatkan bantuan.

image is not available

"Saya sudah cuba sedaya upaya untuk bantu mangsa sekeluarga... saya harapkan yang terbaik untuk mereka," katanya.

Pemuda itu turut mendakwa penggunaan racun bagi kawalan makhluk perosak biasa digunakan pekebun di kawasan itu.

Malah, kebanyakan penduduk sedia maklum ia bertujuan menghalau kehadiran haiwan liar terutamanya monyet yang terlalu banyak sehingga merosakkan tanaman yang diusahakan.

"Ia amalan biasa. Racun tidak berdaftar ini ada dijual di kedai-kedai di Kulim ini selain turut dijual secara dalam talian, racun ini murah yang mana ia dijual pada harga RM3 sepeket.

"Memang biasanya guna makanan ringan jenis itu kerana warna bungkusan yang menarik selain warna keropok yang terang dan monyet akan menjilatnya apabila terkena pada jari. Kami tak guna buah sebab bimbang lembu jilat atau makan buah itu," dakwanya ketika hadir ke majlis pengebumian salah seorang mangsa, Muhammad Akil semalam.

Terdahulu, kemeriksaan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke rumah jiran tersebut menemukan peket kecil disyaki bungkusan racun tikus di tempat longgokan sampah.

Lokasi kejadian turut dikunjungi sepasukan anggota polis yang dipercayai melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, tiada penghuni dalam rumah berkenaan ketika pemeriksaan tersebut dibuat.

Lokasi kejadian juga hanya berjarak kira-kira 50 meter dari rumah kanak-kanak terbabit.

Baca juga: 'Budak nampak jajan mestilah makan...' Doktor saran 5 panduan penting elak kejadian di Kulim berulang, utamakan keselamatan

image is not available

SinarPlus sebelum ini melaporkan, Muhammad Akil meninggal dunia pada pagi Rabu selepas termakan keropok disyaki bercampur racun tikus. Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi itu disedari mereka yang berusia 25 tahun yang mendapati kedua-dua anaknya yang berusia dua dan tiga tahun mengalami muntah-muntah dan mulut berbuih.

Dikejarkan ke Klinik Kesihatan Malau dan ke Hospital Kulim, mereka kemudian dirawat di Wad Rawatan Rapi Pediatrik selepas pegawai perubatan Hospital Kulim mendapati kedua-dua mangsa berada dalam keadaan kritikal.

image is not available

Terdahulu, kira-kira 300 orang ahli keluarga dan penduduk sekitar hadir di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan di sini pada kira-kira jam 9.45 malam Rabu bagi pada pengebumian Allahyarham Muhammad Akil.

REMAN 6 HARI

Dalam perkembangan terkini, seorang lelaki ditahan reman enam hari bagi siasatan kes berkaitan kematian Muhammad Akil.

Permohonan reman terhadap lelaki yang juga pemilik kebun berusia 33 tahun itu dibenarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Mirza Mohamad bermula hari ini hingga 17 Julai.

Individu berkenaan dipercayai pemilik kebun ditahan 12 tengah hari Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 membabitkan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan iaitu cuai membabitkan bahan beracun.

Berhubung hal itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, beberapa individu itu diambil keterangan sejak hari kejadian.

Setakat ini lima individu telah berbuat demikian.

Pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan iaitu kelakuan cuai berkenaan benda beracun.

Kata Fisol, kematian tersebut di bawah mati mengejut (SDR), namun penyiasatan kketika ini mengikut dua seksyen tersebut termasuklah pengabaian.

Sumber: Sinar Harian