Kertas Siasatan Memoir Tommy Thomas Dirujuk Ke AGC Isnin Depan - Noorsiah

1 Oct 2022 • 4:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Polis telah selesai merakamkan keterangan daripada Tommy Thomas berkaitan siasatan buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berkaitan buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness karya bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang telah diperkemas akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara (AGC) Isnin depan.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, polis juga telah selesai merakamkan keterangan diberi Tommy.

“PDRM telah membuka kertas siasatan berkaitan buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness karya Tan Sri Tommy Thomas. 

“Percakapan bekas peguam Negara tersebut juga telah selesai dijalankan oleh PDRM,” katanya ringkas, hari ini.

Menurut beliau, siasatan tersebut dibuat susulan laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan, berhubung semua dakwaan yang terkandung dalam memoir itu.

“Ia telah ditaklimatkan kepada Jemaah Menteri dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agar siasatan lanjut segera dijalankan,” katanya.

Memoir Tommy itu menimbulkan kontroversi apabila didakwa mendedahkan beberapa perkara yang seharusnya menjadi rahsia mana-mana penjawat awam, khususnya penyandang jawatan kanan dalam negara.

Ia dikatakan melanggar sumpah setia jawatan serta sumpah simpan rahsia yang dilafazkan Tommy ketika dilantik sebagai Peguam Negara.

Penghasilan buku itu juga didakwa bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi kerana melibatkan beberapa perkara atau keputusan sulit dibuat kerajaan ketika itu. - Getaran, 1 Oktober 2022