Kerugian bersih Lotte Chemical diunjur sedikit menyusut pada 3QFY24 - TA Securities

Business & Finance
1 Aug 2024 • 12:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerugian bersih Lotte Chemical diunjur sedikit menyusut pada 3QFY24 - TA Securities

azan

01/08/2024 - 12:32

KUALA LUMPUR 1 Ogos - TA Securities mengunjurkan kerugian Lotte Chimical Titan Holding Bhd menyusut sedikit kepada 3QFY24 dipacu penambahbaikan dalam penyebaran produk bagi polietilena ketumpatan rendah (LDPE) dan polietilena ketumpatan rendah linear (LLDPE).

Katanya, LDPE dan LLDPE mungkin menyaksikan sedikit peningkatan dalam purata harga jualan (ASP) pada 3QFY24 daripada peningkatan bermusim dalam permintaan untuk pembungkusan pengguna yang fleksibel bagi memenuhi jualan akhir tahun.

"Secara keseluruhan, kumpulan itu dijangka terus menghadapi kerugian dalam beberapa suku akan datang kerana penyebaran produk tidak mungkin bertambah baik disebabkan lebihan bekalan daripada pengembangan kapasiti besar-besaran (terutamanya di China) yang mengatasi pertumbuhan permintaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, pembinaan projek Lotte Chemical Indonesia New Ethylene (LINE) di Indonesia dijangka siap pada separuh pertama 2025.

“Bagaimanapun, pihak pengurusan mungkin menangguhkan operasi komersil loji itu jika penyebaran produk kekal tidak menggalakkan,” katanya.

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian suku tahunan kesembilan berturut-turut pada 2QFY24 namun termasuk dalam jangkaan firma penyelidikan itu.

Katanya, kerugian bersih teras kumpulan itu ialah RM402.8juta berbanding ramalan kami kerugian RM653 juta dan ramalan konsensus kerugian RM759 juta.

Hasil 2QFY24 turun 4.3% disebabkan jumlah jualan lebih rendah, diheret oleh penyelenggaraan berjadual.

"Walaupun hasil yang lebih rendah, kerugian bersih kumpulan menyusut sebanyak 15.1% daripada RM390.4 juta kepada RM331.7 juta, disebabkan margin negatif kasar yang lebih rendah (daripada penyebaran produk yang lebih baik) dan penurunan nilai inventori yang lebih rendah.

"Ia tidak termasuk kesan item luar biasa, kerugian bersih teras menurun sebanyak 14.2% kepada RM200.2 juta," katanya.

TA Securities mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM1.06 sesaham.- DagangNews.com