Kerugian jenayah komersial lebih RM8.73 juta bulan lepas di Pahang

6 Feb 2024 • 8:18 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUANTAN: Polis Pahang merekodkan kerugian berjumlah lebih RM8.73 juta akibat jenayah komersial pada bulan lepas, kata Ketua Polis negeri Datuk Seri Yahaya Othman.

Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang juga menerima 995 laporan polis, selain menahan 147 individu atas pelbagai kesalahan termasuk tipu dan pinjaman wang tidak berlesen pada bulan pertama tahun ini.

“Kerugian hingga RM8 juta pada permulaan tahun ini menunjukkan keadaan yang sangat membimbangkan dan JSJK Pahang perlu mengambil tindakan untuk pencegahan dan peringatan kepada masyarakat,“ katanya pada Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Selain itu, Yahaya berkata Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang menerima 180 kes pada bulan lepas dengan 144 daripada kes berkenaan melibatkan jenayah harta benda, manakala kadar penyelesaian kes jenayah ialah 50.56 peratus.

Daerah Lipis, Pekan, Rompin dan Cameron Highlands pula antara daerah yang mencatatkan kadar kes jenayah terendah, katanya.

Pada perkembangan lain, Yahaya berkata pihaknya merampas 67 kotak dan 27 karton minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai yang dianggarkan bernilai RM330,000 di sebuah rumah sewa di Genting Highlands yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan minuman itu.

Pada serbuan 11 malam 2 Feb itu, polis juga menahan seorang lelaki warga India berumur 24 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pembantu kedai runcit di Genting Highlands.

Suspek direman hingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import yang boleh didenda hingga 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -Bernama