“Kerugian Kali Ini Amat Besar,” Gedung Pakaian Musnah Dijilat Api, Pemilik Jakel Reda Dengan Ketentuan Ilahi

1 Jan 2023 • 2:04 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

“Kerugian Kali Ini Amat Besar,” Gedung Pakaian Musnah Dijilat Api, Pemilik Jakel Reda Dengan Ketentuan Ilahi

SHAH ALAM — Pemilik gedung tekstil terkemuka, Jakel di cawangan Shah Alam Seksyen 7 reda menanggung kerugian selepas gedung tersebut terlibat dalam kebakaran awal pagi tadi.

Memetik laporan Sinar Harian, kebakaran yang berlaku itu difahamkan merebak dengan pantas sehingga api menjilat bangunan bersebelahan pada hari pertama tahun 2023.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Jakel, Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel, dia yang masih berada di kediamannya di Kuala Lumpur telah dimaklumkan bahawa gedung tersebut terlibat dalam kebakaran sekitar jam 6.45 pagi tadi.

image is not available
Gambar: Bomba Selangor via Bernama

“Saya dan adik bergegas ke Shah Alam dan sebaik tiba di lokasi kami melihat keadaan kemusnahan bangunan agak teruk dan tidak sempat hendak selamatkan apa-apa di bahagian berkenaan.

“Kami reda dengan ketentuan Ilahi kerana setiap perkara berlaku ada kebaikan akan datang, rahsia itu tiada siapa tahu, jadi saya pasrah dan reda,” maklumnya sewaktu ditemui oleh Sinar Harian di lokasi kejadian hari ini.

Tambahnya, pihak Jakel menzahirkan rasa syukur berikutan tiada pekerja yang berada dalam bangunan tersebut sewaktu insiden itu kerana berlaku sebelum waktu operasi.

image is not available
Gambar: Bomba Selangor via Bernama

Walaupun gedung perusahaan keluarganya musnah dalam kebakaran tersebut, Jakel mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat yang bertungkus-lumus menyelamatkan kedai yang berada berhampiran.

“Kita masih belum dapat menganggarkan jumlah kerugian yang ditanggung namun kerugian kali ini amat besar apabila barang yang disimpan di setiap lima aras bangunan boleh dikatakan musnah.

“Jakel Shah Alam digerakkan oleh 500 kakitangan dan kami memberi jaminan nasib pekerja akan dijaga dan mereka juga akan menerima gaji seperti biasa walaupun gedung pakaian ini musnah,” jelasnya menerusi Sinar Harian.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pada jam 7.19 pagi pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian.

Seramai tujuh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari Shah Alam, Kota Anggerik, Subang, Kota Raja, Damansara, Sungai Pinang dan Puchong terlibat dalam kebakaran berkenaan.

“Seramai 38 pegawai dan anggota dari tujuh BBP kemudiannya ke lokasi kejadian,” maklumnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerja-kerja pemadaman api masih dijalankan sehingga jam 12 tengah hari tadi, lapor Sinar Harian.